KULIM: Keenakan bubur lambuk yang disediakan di Masjid Kulim, di sini terus menjadi pilihan orang ramai untuk berbuka puasa sehinggakan makanan itu habis diagihkan dalam tempoh 16 minit sahaja.
Malah, orang ramai tidak menghiraukan cuaca panas terik yang melanda negeri ini apabila sanggup beratur panjang sejak pukul 2.30 petang untuk mendapatkannya daripada empat periuk besar bubur lambuk yang disediakan.
Bubur lambuk Masjid Kulim yang sememangnya terkenal di Kampung Belakang Masjid sudah pun berusia lebih 50 tahun.
Zulbakri Shuib yang bertindak selaku ketua tukang masak berkata, bubur tersebut masih mengekalkan resepi arwah ibunya, Norah Abdullah yang menjadi tukang masak bagi menu itu sebelum ini.
“Saya sambung tugas ibu jadi ketua tukang masak serta kekalkan resepi yang sama. Setiap hari bermula pukul 8 pagi saya dan 30 pembantu akan masak dan bungkus antara 1,500 sehingga 2,000 bungkus bubur lambuk.
“Kos bahan mentah untuk memasak bubur ini setiap hari adalah sekitar RM1,500 untuk penyedian bekalan termasuk menggunakan sebanyak 80 kilogram (kg) beras serta bahan-bahan lain,” katanya ketika ditemui semalam.
Zulbakri berkata, kos tersebut dibiayai oleh pihak masjid selain sumbangan orang ramai menerusi tabung khas yang diletakkan ketika mereka hadir mengambil bubur lambuk itu.
“Dahulu kayu api digunakan, namun zaman sudah berubah, kami guna dapur gas yang lebih cepat dan mudah. Setiap orang akan diberi sebanyak dua bungkus bubur lambuk sahaja agar semua orang dapat merasainya,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Hassan Aziz, 58, dari Taman Kenari berkata, setiap tahun dia tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan bubur lambuk berkenaan.
“Tiap-tiap hari jika ada kelapangan saya akan datang ke sini untuk mendapatkan bubur lambuk yang mempunyai rasa dan keenakan tersendiri,” katanya.
Pendapat sama turut dikongsikan Al Iman Abdullah, 28, yang menyebabkan dia juga sanggup beratur awal walaupun bubur lambuk itu hanya mula diedarkan pukul 3 petang kerana risau tidak berpeluang jika tiba lewat. – UTUSAN










