Pembersihan pertanian punca pembakaran terbuka hutan, ladang di Selangor - Utusan Malaysia

Pembersihan pertanian punca pembakaran terbuka hutan, ladang di Selangor

Pembakaran hutan
NOR Hisham Mohamad bercakap kepada media pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Selangor di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pembersihan kawasan pertanian serta penyuburan tanah dikenal pasti punca utama kes pembakaran hutan dan ladang secara terbuka di Selangor yang didapati melibatkan 40 kes di hutan dan 26 di kebun atau ladang.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, sebanyak 283 kes pembakaran terbuka direkodkan pihaknya sepanjang dua bulan pertama tahun ini.

“Kebakaran itu berlaku selepas selesai kerja penuaian dan segelintir petani mengambil jalan mudah dengan membakar tanaman secara terbuka.

“Tindakan seumpama itu yang turut dijejaskan dengan cuaca terlalu panas sekali gus menjadi punca berlakunya jerebu,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Selangor, semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan tiga kawasan hutan simpan di Selangor dikenal pasti antara empat titik panas yang berisiko berlaku kebakaran tanah gambut berskala besar.

Kawasan itu melibatkan Hutan Simpan Raja Muda Musa, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dan Hutan Simpan Kuala Langat Utara. Selain itu, Kampung Johan Setia di Klang juga berisiko berlaku kebakaran tersebut.

Menurut Nor Hisham, pemerhatian mendapati pembakaran secara berulang turut melibatkan kawasan dua Hutan Simpan Kuala Langat.

“Justeru, perkara itu perlu diberi penekanan khusus oleh semua pihak bagi menangani isu berkenaan. JBPM sentiasa bersiap siaga dalam semua keadaan bagi memadamkan kebakaran terbuka termasuk melibatkan hutan,” ujarnya.

Tambah beliau, trend kes pembakaran terbuka bagaimanapun masih terkawal setakat ini biarpun berdepan fenomena cuaca panas.

“Namun, semua risiko mengenai beban kemerebakan api yang akan berlaku perlu dinilai dan mengelak meninggalkan lokasi kebakaran tanpa diawasi.

“Orang ramai juga diminta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat mengenai pihak yang sengaja melakukan pembakaran terbuka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN