KANGAR: Perlis berpontensi menjadi lokasi penganjuran aktiviti atau fiesta belon udara panas sekali gus bakal menjadi tarikan baharu buat pengunjung khususnya bersempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025.
Hal demikian kerana, Perlis mempunyai keistimewaan tersendiri dengan keindahan alam semula jadi seperti panorama bukit batu kapur dan kehijauan sawah padi melalui pandangan dari udara.
Antara lokasi dilihat sesuai seperti Lembah Chuping berpanorama Bukit Chabang, Tasik Timah Tasoh dan kawasan Sanglang yang menyajikan pemandangan sawah padi sekali gus bakal menampilkan keunikan dan perbezaan pemandangan dari udara berbanding negeri-negeri lain.
Malah buat julung kalinya juga, belon udara panas telah dibawa ke negeri ini melalui syarikat AKA Balloon Sdn. Bhd. bersempena Pesta Angin Timur 2024 sekali gus menarik perhatian bukan sahaja rakyat negeri malah pengunjung luar datang ke sini.
Kehadiran belon udara panas buat kali pertama di negeri ini juga menarik perhatian rakyat di Perlis dengan semasa penerbangan bebas di sekitar Chuping semalam menarik perhatian orang ramai bagi melihat sendiri belon berkenaan dengan lebih dekat lagi.
Pengurus Operasi AKA Balloon Sdn. Bhd. Eizwan Elyas Khairudin,25, berkata, Perlis mempunyai potensi cukup besar bagi penganjuran fiesta belon udara panas berikutan pemandangan dari udara yang cukup memukau seolah-olah seperti berada di negara-negara Eropah.
Katanya, daripada segi teknikal, Perlis juga merupakan lokasi sesuai berikutan kawasan tanah di sini yang rata, tidak ada bangunan tinggi serta lapangan terbang.
Justeru, kata Eizwan, pihaknya bersedia untuk menganjurkan aktiviti atau fiesta belon udara panas di negeri ini jika mendapat sokongan dan kesediaan daripada kerajaan negeri atau mana-mana pihak bagi merealisasikannya.

“Perlis mempunyai pemandangan yang cukup cantik seperti di Eropah sekali gus dilihat berpontensi bagi aktiviti belon udara panas ini.
“Penganjuran pesta belon udara panas di negeri ini juga dapat membantu menarik pengunjung luar negara khususnya bersempena Tahun Melawat Perlis ketika ini. Kita bersedia membawa ke sini dan melihat kesesuaian antara bulan Julai atau Ogos,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya kerap mengikuti acara belon udara panas dengan sebulan antara dua dan tiga kali dengan penganjuran paling besar adalah seperti fiesta belon udara panas di Putrajaya dan Pulau Pinang.
Katanya, syarikat mengendalikan belon udara panas yang beroperasi di Kuala Lumpur itu telah beroperasi sejak tahun 1994 dengan meneruskan legasi bapanya.
Malah katanya, dua kakaknya iaitu Izzati Khairudin,37, dan Atiqah,35, juga merupakan jurumudi belon udara panas wanita yang pertama di negara ini.
“Aktiviti belon udara panas mempunyai banyak ruang dan peluang untuk diterokai di negeri ini yang mempunyai potensi besar sebagai salah satu lagi lokasi sesuai,” katanya.-UTUSAN










