PUTRAJAYA: Bermula sesi persekolahan ini, pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi semua mata pelajaran murid di sekolah akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred.
Berbanding sebelum ini, skor setiap mata pelajaran bagi UASA dipaparkan dalam bentuk tahap penguasaan (TP) iaitu antara 1 hingga 6.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira pandangan ibu bapa yang keliru dengan pelaporan TP sebelum ini.
“Sebelum ini, berlaku pertikaian dalam kalangan ibu bapa yang mempersoal bagaimana nak ukur prestasi pembelajaran anak mereka.
“Sebagai contoh, TP 6 itu apa (maksudnya tahap penguasaan bagaimana) dan selepas ini tiada lagi paparan TP sebaliknya ia dipaparkan dalam bentuk peratus dan gred.
“Bagaimanapun, penggunaan TP masih diguna pakai dalam pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) namun, bagi pelaporan UASA ia dikeluarkan dalam bentuk peratus dan gred,” katanya dalam sidang akhbar khas Intervensi Kurikulum di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, bermula sesi ini juga, ibu bapa boleh mengakses Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) secara atas talian bagi mengetahui perkembangan dan prestasi anak-anak di sekolah.
Menurutnya, akses itu membabitkan pelaporan PBD yang dikeluarkan dua kali setahun dan pelaporan UASA yang diterbitkan pada akhir sesi persekolahan.
“Kami mahu perkenalkan pelaporan yang mesra ibu bapa supaya mereka ada akses untuk melihat perkembangan anak-anak di sekolah,” katanya.
Katanya, langkah itu adalah antara tiga langkah intervensi kurikulum Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani isu keciciran pembelajaran di sekolah.
Fadhlina berkata, pihaknya juga menyediakan Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap 1 yang akan digunakan mula sesi akademik.
“Penjajaran kurikulum ini melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap 1 sedia ada.
“Dokumen penjajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan menyusul kemudian,” katanya.
Katanya, penataran bagi langkah intervensi ini akan disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah melalui penganjuran bengkel dan latihan mulai esok.
Jelasnya lagi, langkah intervensi ini adalah sebahagian usaha menangani isu keciciran pembelajaran selain membantu merangka persediaan pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi tumpuan kepada penguasaan literasi, numerasi dan pembentukan karakter. – UTUSAN










