KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja swasta di negeri ini ditahan selepas disyaki memalsukan maklumat ketika memohon bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Suspek disyaki mengemukakan borang yang mengandungi butir matan palsu berkaitan maklumat pekerjaan dan pendapatan isi rumah bagi mendapatkan bantuan membina rumah baharu bernilai RM50,000.
Lelaki berusia 30-an itu memohon bantuan PPRT melalui Jawatankuasa Task Force Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Wilayah Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Suspek melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK).
Terdahulu, suspek ditahan 12 tengah hari tadi ketika memberikan keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Terengganu dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, esok.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
PPRT adalah salah satu inisiatif kerajaan memberi bantuan perumahan dengan kumpulan sasar ialah ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan miskin berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). – UTUSAN









