SUNGAI BULOH: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar Petaling Jaya selepas tertangkapnya empat ahli termasuk pasangan kekasih yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran barang terlarang itu.
Kegiatan tersebut terbongkar selepas sepasukan polis Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah menahan sebuah kereta Perodua Axia dalam keadaan mencurigakan di kawasan Subang Jaya pada 10.30 malam, 13 Mac lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis berjaya menahan seorang lelaki dan wanita tempatan yang dipercayai pasangan kekasih terlibat dalam pengedaran dadah.
“Pemeriksaan lanjut ke dalam kereta mereka menemukan satu ketulan mampat ganja seberat satu kilogram, 100 biji pil Erimin 5, dan enam botol cecair kodein 1.5 liter.
“Hasil soal siasat ke atas pasangan tempatan itu dan berpandukan arah polis telah pergi ke satu rumah di Seri Kembangan sebelum berjaya menahan dua lelaki tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sungai Buloh hari ini.
Menurut Hussein, pemeriksaan di dalam rumah kedua-dua suspek itu membawa kepada rampasan 31 paket ketulan dan leraian ganja seberat 8.2 kg, 73 biji pil Erimin 5 dan sebotol cecair kodein.
Jelasnya, semakan mendapati salah seorang daripada empat suspek berkenaan mempunyai satu rekod kesalahan lampau dadah manakala dua suspek lagi positif dadah jenis THC menerusi ujian saringan awal air kencing.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah daripada sindiket ini adalah bernilai RM31,600 dan dipercayai untuk pengedaran ke pasaran Lembah Klang.
“Kita turut menyita sebuah motosikal jenis Honda RS150R dan sebuah iPad Apple bernilai RM4,000 untuk tindakan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Kesemua suspek direman seminggu untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan,’ kata beliau.
Dalam kes berasingan, Hussein memaklumkan, seorang buruh warga tempatan berjaya ditahan polis Daerah Sabak Bernam pada 10 Mac lalu.
Katanya, dalam kes ketiga ini, suspek merupakan seorang berstatus duda berusia 44 tahun dipercayai aktif dalam pengedaran dadah.
“Pemeriksaan ke atas suspek berjaya membawa kepada rampasan sebanyak 8,900 biji pil Erimin 5 di tepi jalan kawasan Sabak Bernam yang dianggarkan bernilai RM145,000
“Suspek memiliki lima rekod kesalahan lampau dadah dan dua daripadanya berstatus dikehendaki sementara hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif syabu.
“Suspek direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup,” katanya. – UTUSAN










