PARLIMEN: Perkhidmatan komuter laluan selatan bakal dibuka

PARLIMEN: Perkhidmatan komuter laluan selatan bakal dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan KTM Komuter di sektor selatan selaras kemajuan Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru yang dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan komuter itu melibatkan laluan Gemas-Paloh-Johor Bahru.

“Kementerian menerusi Perbadanan Aset Keretapi sedang mengusahakan inisiatif perolehan set tren elektrik baharu secara pajakan untuk digunakan bagi perkhidmatan KTM Komuter di sektor selatan kelak,” katanya semasa waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang sebelum itu bertanya berhubung tempoh projek landasan berkembar Gemas-Johor Bahru akan siap sepenuhnya dan jika kerajaan bersedia memperkenal perkhidmatan komuter elektrik antara bandar Kluang ke Johor Bahru. 

Anthony berkata, lebih banyak hentian dan stesen akan terlibat apabila perkhidmatan komuter laluan selatan itu diperkenal selain stesen tambahan juga dicadangkan kerajaan negeri Johor terutama antara Kempas ke Johor Bahru.

“Kita juga menggalakkan kerjasama dengan sektor swasta yang mana jika ada projek perumahan, pemaju akan membina kemudahan stesen kerana ia akan memberi nilai tambah kepada pembangunan,” katanya. 

Menjawab soalan asal Shu Qi mengenai jangkaan projek landasan berkembar berkenaan, Siew Fook memberitahu, projek melibatkan laluan sepanjang 192 kilometer itu dijadual siap sepenuhnya pada 21 April 2025.

Bagaimanapun, katanya, bahagian infrastruktur jajaran landasan kereta api berkembar elektrik  Gemas- Johor Bahru dijangka siap penghujung tahun ini.

“Dengan siapnya infrastruktur jajaran landasan kereta api ini, perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang kini beroperasi sehingga ke Stesen Gemas akan dilanjutkan ke Stesen Johor Bahru.

“Kerajaan juga membuat perolehan 10 set tren elektrik baharu, yang dijangka diguna secara berperingkat mulai penghujung tahun ini untuk menyokong operasi perkhidmatan ETS di sektor selatan,” katanya.

Menjawab soalan Khairil Nizam Khiruddin (PN-Jerantut) mengenai pelaksanaan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura), beliau berkata, laporan awal kertas cadangan pelaksanaan semula dikemukakan MyHSR Corp kepada Kementerian Pengangkutan.

“Kementerian akan mengemukakan laporan itu kepada jemaah menteri untuk kelulusan. Namun, yang penting projek ini tidak akan melibatkan suntikan kewangan daripada kerajaan, sebaliknya dibiayai swasta dan keputusan Kabinet akan menimbangkan implikasi kewangan kepada kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN