KUALA LUMPUR: Status kemajuan terkini pembinaan pesawat latihan tempur ringan (FLIT/LCA) FA-50 sudah mencapai 26.7 peratus dan dijangka diterima negara dalam tiga tahun lagi.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, dua buah pesawat tersebut dijangka diterima Malaysia pada suku ketiga 2026.
“Manakala pesawat selebihnya akan diterima secara berperingkat sehingga penghujung tahun 2027,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang meminta kementerian menyatakan jangkaan perolehan status terkini pembelian 18 pesawat FLIT/LCA FA-50 bernilai RM3.8 bilion bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Mengulas lanjut, Adly berkata, FLIT/LCA FA-50 yang bakal diperoleh negara nanti bukan sahaja digunakan untuk kombat tetapi juga untuk latihan TUDM.
“Kita tahu pesawat Hawk kita sehingga tahun 2028, jadi ini salah satu tujuan operasi kita dan juga tujuan latihan.
“Saya fikir fasa demi fasa, kita akan melihat ini (merupakan) fasa pertama FA-50 dan saya yakin melalui Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55). Kita berharap segala perancangan ini dapat dilaksanakan dengan baik,” jelasnya.-UTUSAN










