KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui tekanan penggiat industri rokok dan vape yang ‘melobi’ kerajaan menyebabkan KKM terpaksa mengubah keputusan untuk merealisasikan generasi penamat rokok (GEG).
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, disebabkan tekanan itu menyebabkan berlaku pertindihan pandangan antara kerajaan, ahli Dewan Rakyat dan pemain industri berhubung pelaksanaan GEG.
“Kalau kita lihat daripada pengalaman apabila kita membentang GEG, berlakunya pertindihan pandangan apabila tekanan industri memasuki Parlimen dan pemain industri berjumpa dengan ahli parlimen, ini mempengaruhi keputusan tersebut (GEG),” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Halimah Ali [PN-Kapar] jika kerajaan mempunyai iltizam politik untuk membebaskan mereka daripada pengaruh industri rokok dan vape.
Sehubungan itu, Lukanisman berkata, usaha membendung ketagihan rokok dan vape memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Saya berharap, sekiranya kita benar-benar mahu menolak tabiat merokok dan vape ini, ia haruslah bermula dari Parlimen. Tidak mempraktikkan amalan menghisap vape di premis-premis seperti Parlimen.
“Carilah tempat yang sesuai, saya mohon kita tidak mudah terpengaruh dengan iklan-iklan memandangkan vape terkini sangat mudah menarik perhatian kanak-kanak,” katanya.
Pada 30 November tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di peringkat dasar selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
Keputusan itu dicapai meskipun peruntukan GEG digugur daripada RUU tersebut, namun, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa ketika itu berkata, pihaknya terbuka untuk mengembalikannya pada masa akan datang.
Zaliha kini menyandang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) selepas berlaku rombakan Kabinet selepas RUU itu lulus.
RUU itu sepatutnya melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007.
RUU itu dibentang untuk bacaan pertama pada 12 Jun tahun lalu dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen dengan penelitian dibuat oleh ahli-ahlinya untuk membuat syor penambahbaikan.
Pada 18 November tahun lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa peruntukan berkenaan RUU itu boleh dicabar di mahkamah.
Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dalam kenyataan berkata, peruntukan RUU itu bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
“Ini memandangkan peruntukan itu mewujudkan layanan undang-undang yang tidak sama rata di antara seseorang yang dilahirkan sebelum 1 Januari 2007 dan seseorang yang dilahirkan pada dan selepas 1 Januari 2007,” katanya. – UTUSAN










