Kereta elektrik buatan tempatan bawah RM100,000 pada 2025

Kereta elektrik buatan tempatan bawah RM100,000 pada 2025

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat Malaysia mempunyai kenderaan elektrik (EV) keluaran tempatan dengan harga berpatutan disasarkan kurang daripada RM100,000 pada 2025.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri,  Liew Chin Tong berkata, itu adalah hasrat kerajaan dan ia tidak terhad kepada Proton Holdings Bhd. (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) semata-mata. 

“Mana-mana jenama bersedia untuk mengeluar kereta (EV) di dalam Malaysia, ia akan dibenarkan untuk jual kereta mereka di bawah RM100,000. 

“Ini supaya kita dapat menghasilkan dua objektif. Pertama, merakyatkan transisi hijau yang diperlukan, tetapi dengan matlamat kedua secara serentak iaitu membangunkan industri baharu,” katanya semasa menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, kerajaan menumpukan penghasilan pengecas pantas EV DC supaya lebih ramai rakyat dapat menggunakan kenderaan itu untuk jarak panjang. 

“Kajian akan diadakan supaya mengkaji adakah kita akan menaikkan sasaran pengecas DC dari 1,000 unit untuk tahun 2025 kepada sasaran lebih tinggi,” katanya. 

Terdahulu, Chin Tong berkata, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 20 peratus jualan tahunan kenderaan pada 2030 merupakan EV, manakala pada 2040 (50 peratus) dan 2050 sebanyak 80 peratus. 

“Transisi ini sejajar dengan salah satu misi untuk memangkin EV sebagai pemacu pertumbuhan utama bagi memastikan pembangunan ekonomi lebih mampan di masa hadapan. 

“Kerajaan akan terus menerajui usaha membangunkan ekosistem rantaian bekalan EV tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN