`Komisen', `Upah Nasihat' merupakan wang sogokan

Pakar anggap `Komisen’, `Upah Nasihat’ adalah wang sogokan

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakar pemulihan aset luar pesisir yang juga pelikuidasi SRC memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa wang sejumlah AS$13.98 juta yang dibayar dua buah syarikat sebagai `komisen’ dan ‘upah nasihat’ adalah wang sogokan.

Pakar penyiasatan kewangan, Angela Barkhouse berkata demikian berdasarkan tempoh pemindahan dana tersebut daripada Gobi Coal & Energy Limited (GCE) kepada Blackstone Asia Real Estate Partners (Blackstone) dan Globalink Aviation Limited (Globalink) yang berlaku dalam masa sangat singkat iaitu sejurus menerima dana sebanyak AS$91 juta daripada Aabar-SRC.

Aabar-SRC merupakan syarikat usaha sama di antara SRC BVI dan Kerajaan Abu Dhabi yang ditubuhkan bagi melabur dalam projek-projek antaranya sumber tenaga boleh diperbaharui.

Syarikat itu juga mengambil alih 14 juta saham GCE yang juga pemegang hak dua lombong arang batu di Mongolia dengan harga AS$91 juta.

“Saya mengambil maklum bahawa tempoh masa transaksi yang berlaku di antara Blackstone dan Globalink berlaku dalam masa singkat, sejurus selepas menerima pembayaran daripada Aabar-SRC. Saya merumuskan bahawa pembayaran ini merupakan wang sogokan bagi pelaburan AS$91 juta ke dalam GCE,” kata Barkhouse yang memberi keterangan melalui aplikasi Zoom.

Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan membabitkan tuntutan saman sivil yang dikemukakan SRC International Sdn. Bhd. terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.

Terdahulu wanita itu menyatakan, selepas AS$91 juta dibayar kepada GCE, terdapat dua pembayaran dibuat kepada Blackstone sebanyak AS$8.99 juta dengan rujukan pembayaran sebagai `Komisen’ dan AS$4.99 juta dibayar kepada Globalink dengan rujukan `Upah Nasihat’.

Pembayaran kepada kedua-dua syarikat itu dibuat melalui sebuah akaun bank yang berpangkalan di Hong Kong.

Wang yang diterima oleh Blackstone kemudian telah diagihkan kepada beberapa transaksi iaitu sebanyak AS$4.1 juta kepada syarikat Alsen Chance (sebuah syarikat yang dimiliki Tan Kim Loong yang merupakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low); AS$2 juta kepada Abu Dhabi Kuwait Malaysia Investment Corporation (ADKMIC); AS$500,000 kepada Red Granite Pictures (anak tiri Najib) dan AS2.1 juta kepada Sunshine Development Pte. Ltd.

Bagi wang sebanyak AS$4.99 juta yang `dibayar’ kepada Globalink, dana tersebut kemudian telah diagihkan kepada Rayan Inc (AS$1.2 juta) dan Blackstone (AS2.9 juta).

Wang AS$2.9 juta yang diterima Blackstone daripada Globalink kemudian diagihkan kepada beberapa transaksi iaitu AS$250,000 kepada bekas Setiausaha Syarikat SRC, Chee Suwen; AK Worldwide Ltd (AS$750,000); Hubbards Limited (AS$300,000); California Clearing (AS$850,000) dan Alsen Chance (AS$350,000).

“Saya tidak dapat memastikan alasan pembayaran-pembayaran tersebut dibuat atau menjejak (aliran wang) dengan lebih lanjut,” kata saksi itu.

Dalam tuntutan saman tersebut, lima bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan lima individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

Lima individu itu ialah Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC International yang juga anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 25 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN