PETALING JAYA: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) disasarkan menjadi hab ekonomi dan berteknologi bertaraf dunia selain dijangka mencatatkan pelaburan direalisasikan sebanyak RM367.8 bilion menjelang tahun 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, NCER direncana menjadi hab ekonomi dan teknologi bertaraf dunia menerusi tiga bidang tumpuan baharu.
“Bidang tersebut adalah Perkhidmatan Termaju, Pembuatan Bernilai Tinggi dan Pertanian Moden. Pemacu perubahan yang akan menyokong (rencana tersebut) adalah amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta mengaplikasi penggunaan digital,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Ke-31 yang dipengerusikannya pagi tadi.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli.
Perdana Menteri berkata, perkara utama yang diteliti dalam mesyuarat tersebut adalah berkaitan dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024-2030.
“Bagi tempoh 2021 hingga 2022, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) telah menyumbang 34 peratus (RM197 bilion) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.
“Mesyuarat juga membincangkan inisiatif “Facilitation@NCER” dalam usaha memacu dan merealisasikan pelaburan di NCER.
“Ini akan melibatkan koordinasi dengan MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) bagi tujuan kemudahan akses maklumat, pengurusan perhubungan pelaburan, penyesuaian perkhidmatan dan guna pakai platform pengurusan digital On-Track,” katanya. -UTUSAN










