Menitis air mata terima sumbangan beras  - Utusan Malaysia

Menitis air mata terima sumbangan beras 

SEORANG penduduk gembira ketika menerima sumbangan makanan termasuk sekampit beras 10kg pada Majlis Wakalah Zakat Andalusia Travel and Tours bersama Ayam Bismi di Alor Setar. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Dapat beras super import yang memang saya tak dapat beli, ayam dua ekor, telur sepapan dan bihun dua paket, syukur sangat. Itu yang buat saya sedih dan menitis air mata.

Itu luahan seorang wanita warga emas, Normah Ismail, 65, dari Kampung Pulai, Pendang yang merupakan seorang daripada penerima bantuan makanan pada Majlis Wakalah Zakat Andalusia bersama Ayam Bismi, di sini.

Menurut Normah, sumbangan termasuk wang tunai itu merupakan yang pertama untuknya bagi tahun ini sekali gus meredakan kerisauan tentang perbelanjaan harian sempena Ramadan.

“Dulu berniaga tapi sekarang tak berapa sihat lagi nak buat kerja dan suami, Jamaludin Saari, 73, pula hidap lelah. Alhamdulillah terpilih terima bantuan ini, dapat juga ringan beban kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pada majlis itu, semalam.

Penyampaian sumbangan dilakukan oleh Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah serta Pengerusi Ayam Bismi, Jaffri Ahmad dan Pengarah Urusannya, Mazlina Kamarudin.

Sebanyak 200 penduduk dalam kalangan golongan asnaf yang juga anak kariah dari tujuh masjid di sekitar daerah ini dan Pendang menerima bantuan tersebut sempena kedatangan Ramadan.

Seorang lagi penduduk, Norma Mohd. Radzi, 58, berkata, bantuan berupa beras itu sangat berharga untuknya yang sudah lama tidak merasa beras gred terbaik seperti itu.

“Selama ini saya mampu beli beras timbang sahaja. Sekali beli dua kilogram (kg) tahan seminggu sebab kami tiga beranak sahaja. Suami buat kerja-kerja kampung pendapatan tidak seberapa. Alhamdulillah, rezeki kami,” katanya.

Sementara itu, menurut Md. Daud, program kebajikan itu adalah yang pertama dijalankan bersama Ayam Bismi sebagai satu usaha membantu golongan tidak berkemampuan di Kedah.

“Ini adalah julung kali kami bergabung. Saya tertarik dengan usaha Ayam Bismi yang mengadakan Rumah Makan Percuma (RMP) untuk penduduk setempat. Sedekah makanan ini terutama pada bulan puasa besar pahala.  

“Andalusia serah zakat sebanyak RM50,000 untuk kerja-kerja kebajikan ini namun Ayam Bismi cadangkan 38 peratus daripada jumlah itu disumbangkan kepada asnaf dalam program ini. Ia satu rahmat yang paling besar kalau kita memberi makanan kepada mereka yang memerlukan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×