Melaka cadang wujud sekolah autisme

Melaka cadang wujud sekolah autisme

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri bercadang mewujudkan sebuah sekolah khas untuk kanak-kanak autisme khusus bagi golongan B40.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, sebelum ini terdapat cadangan untuk mewujudkan pusat pendidikan awal kanak-kanak autisme di setiap zon termasuk di Melaka.

Kata beliau, bagaimanapun cadangan tersebut tidak dapat diteruskan susulan berlaku perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Buat masa ini tiada sekolah autisme di bawah naungan kerajaan di Melaka. Hanya terdapat satu pusat pendidikan autisme yang dikendalikan pihak swasta di Peringgit dengan yuran kira-kira RM350 untuk seorang pelajar.

“Bagaimanapun, tidak ramai ibu bapa yang mampu untuk menghantar anak ke sana. Saya juga menerima banyak aduan daripada guru yang berdepan masalah untuk mendidik anak istimewa ini yang dihantar ke taska biasa.

“Justeru saya terpanggil untuk menubuhkan sekolah autisme di bawah naungan kerajaan negeri yang akan dimanfaatkan keluarga B40 dengan bayaran yang minimum,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

KALSOM Nordin bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar ketika Sidang DUN Melaka di Seri Neger, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Sementara itu, Kalsom berkata, sejumlah RM20.7 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan keseluruhan orang kurang upaya (OKU) terutama anak-anak istimewa pada tahun lalu.

Menurutnya, peruntukan itu diberikan bagi pembangunan dan pendidikan anak-anak istimewa serta OKU.

“Sejumlah RM3.3 juta adalah bantuan kewangan kepada 17 pertubuhan pemulihan dalam komuniti (PPDK) melibatkan seramai 97 penyelia dan 519 petugas serta pelatih. Pembayaran elaun murid berkeperluan pendidikan khas pula berjumlah RM7.76 juta melibatkan 4,334 murid manakala penyelenggaraan kemudahan mesra OKU di sebanyak 10 buah sekolah melibatkan peruntukan sejumlah RM499,692.

“Projek naik taraf bengkel kemahiran Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK) Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di 11 buah sekolah sebanyak RM3,81 juta dan pembinaan bangunan gantian Sekolah Kebangsaan (SK) Ujong Pasir melibatkan PPKI ialah RM5.33 juta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN