Masjid An-Nuhiah warisan 100 tahun dapat pagar baharu

Masjid An-Nuhiah warisan 100 tahun dapat pagar baharu

Muhammad Fazrin Mahamad Nazeri menunjukkan tambahan keluasan kawasan masjid selepas pembinaan pagar baharu Masjid An-Nuhiah Kampung Ribu di Kuala Kangsar. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Warga Masjid An-Nuhiah di Kampung Ribu dekat sini, bersyukur apabila tempat ibadat mereka berusia hampir 100 tahun dipasang pagar keliling yang baharu.

Masjid yang wujud sebelum kemerdekaan negara itu, selama ini sering terdedah kepada ancaman haiwan liar dan sampah sarap dari luar.

Pengerusinya, Muhammad Fazrin Mahamad Nazeri, 30, berkata, kewujudan pagar baharu itu sejak awal tahun ini juga dapat menge­lakkan kawasan masjid digunakan oleh pihak lain.

“Dengan wujudnya pembinaan pagar baharu, kawasan masjid kini lebih nyata dan mempunyai sempadan yang betul. Maka masjid ini sudah mempunyai kawasan yang luas untuk menjalankan pelbagai aktiviti,” katanya.

Pembinaan pagar keliling itu dibiayai melalui peruntukan sebanyak RM15,180 oleh Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Peruntukan itu antara lain adalah selari mengikut flagship ke-17 Pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu Komuniti Perak Sejahtera.

Muhammad Fazrin gembira dengan bantuan kerajaan negeri memandangkan masjid yang terletak di Mukim Kota Lama Kiri, jauh ke dalam pedalaman dari bandar Kuala Kangsar itu tiada sumber kewa­ngan kukuh dan sekadar mengharapkan sumbangan penduduk kampung.

“Boleh dikatakan setiap ming­gu, dana tabung mingguan yang berjaya dikutip sebanyak RM300. Oleh itu bantuan seperti ini dapat menyuntik semangat kepada kami. Terima kasih Pelan Perak Sejah­tera 2030 kerana turut memberi perhatian untuk perkara kecil seperti ini,” katanya.

Katanya, bertitik-tolak de­ngan bantuan yang diterima itu, dia bersama penduduk sekitar mahu terus memajukan institusi masjid di situ termasuk dijadikan sebagai aset warisan kampung.

“Masjid di sini tidak mempunyai simpanan rekod yang boleh dijadikan rujukan. Tetapi terdapat gambar-gambar lama yang menerangkan kewujudan tempat ibadat ini.

“Saya sendiri ada simpan gambar masjid ini pada era 1970-an. Saya mahu mengumpul banyak lagi maklumat tentang masjid ini untuk kepentingan komuniti setempat,” katanya.

Masjid An-Nuhiah itu juga mempunyai keunikan tersendiri apabila sejak sekian lama mempunyai kubah berbentuk lipatan payung, iaitu sinonim dengan reka bentuk kubah Masjid Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN