IPOH: Sebanyak 20 periuk pelbagai jenis bubur dimasak dan diedarkan kepada orang ramai sempena program Bubur Lambuk Mega 2024 di sini hari.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, program itu pertama kali diadakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).
“Sebanyak 20 periuk bubur yang dimasak terdiri daripada bubur anak lebah, pulut hitam, kacang hijau, gandum, cha-cha, jagung, bubur madani dan bubur lambuk.
“Sebanyak 10 periuk bubur lambuk akan dimasak di sini termasuk dua periuk bubur gandum, bubur cha-cha dan bubur kacang hijau dan selebihnya hanya satu periuk sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia pada program tersebut di Bulatan Amanjaya Meru Raya, di sini hari ini.
Menurutnya, ini merupakan tahun pertama program ini diadakan dan bubur yang dimasak diedarkan kepada pengunjung-pengunjung yang datang di Bulatan Meru bermula pukul 4.30 petang.
Katanya, program ini bertujuan untuk membantu orang ramai yang kesempitan wang untuk berbuka puasa.
“Mungkin kita tidak tahu dalam kehidupan seharian kita ada yang tidak ada juadah untuk berbuka puasa. Jadi, kita harap juadah ini dapat membantu mereka,” katanya.
Ujarnya, lebih 10 agensi kerajaan termasuk badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergotong-royong untuk menyiapkan juadah tersebut.
“Peruntukan utama adalah daripada SADC dan sebanyak 6,000 pek pelbagai jenis bubur diedarkan kepada orang ramai hari ini,” katanya. – UTUSAN










