PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia bersetuju memberi sumbangan tambahan sebanyak RM10 juta kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Kerajaan Malaysia menzahirkan sokongan kepada agensi tersebut dengan menyalurkan sumbangan sebanyak RM10 juta (AS$2.1 juta) pada 17 November tahun lalu menggunakan dana Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Jelasnya, ini merupakan sumbangan tambahan kepada AS$200,000 setahun yang disalurkan Malaysia bagi tempoh lima tahun dari tahun 2021 hingga 2025.
“Malaysia kekal memberikan sokongan penuh kepada UNRWA, terutamanya apabila agensi tersebut menghadapi cabaran kewangan.
“Mengambil kira situasi semasa yang semakin meruncing, Kerajaan Malaysia bersetuju untuk membuat sumbangan tambahan sebanyak RM10 juta, sama seperti sumbangan pada 17 November lalu yang menjadikan sumbangan Malaysia kepada UNRWA sebanyak RM20 juta,” kata kenyataaan itu hari ini.
Tambah Wisma Putra, Malaysia turut mengalu-alukan pengumuman dibuat oleh empat negara iaitu Australia, Iceland, Kanada dan Sweden mengenai penyambungan semula pembiayaan kewangan kepada UNRWA.
“Malaysia akan terus menyokong UNRWA dalam usahanya untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin,” ujarnya. – UTUSAN