PETALING JAYA: Malaysia bersedia menjadi hab kepada syarikat Jerman dan Eropah yang mahu meneroka pasaran China, Jepun dan Korea Selatan dengan menyediakan pusat untuk sektor pengeksportan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa kini terdapat 700 syarikat Jerman beroperasi di Malaysia termasuk syarikat semikonduktor gergasi Infineon Technologies membabitkan pelaburan RM25 bilion (5 bilion euro).
Beliau berkata, hal ini disebabkan beberapa faktor termasuk keamanan, pertumbuhan pesat ekonomi dan hubungan rapat Malaysia dengan Eropah, Amerika Syarikat (AS), China, Jepun dan Korea Selatan.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga mampu menawarkan barisan tenaga kerja mahir, infrastruktur moden, persekitaran kawal selia yang jelas selain potensi pertumbuhan besar.
“Semuanya kerana keamanan di rantau ASEAN, kami mempunyai polisi ekonomi yang jelas, hubungan dinamik dengan semua negara walaupun kami lantang menyuarakan pendirian dalam banyak hal.
“Tetapi, pada 2023, pelaburan masuk ke Malaysia meningkat kepada jumlah paling tinggi pernah dicapai sejak kemerdekaan pada 1967, malah pelaburan di kalangan syarikat Jerman turut meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada SME Future Day 2024 yang dianjurkan oleh Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (BVMW) di Berlin.
Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan kerja sulungnya ke Jerman selama lima hari sehingga esok.
Anwar berkata, terdapat kegusaran dalam kalangan banyak pihak berhubung masalah antara AS dengan China berkemungkinan menjejaskan dunia, namun beliau tidak berpandangan sedemikian.
Menurutnya, isu berkenaan sudah diperkatakan sejak 50 tahun lalu dengan pelbagai persepsi negatif namun ia perlu dihadkan di arena politik sahaja.
“Maksud saya, komuniti perniagaan perlu mengambil pendekatan yang lebih realistik. Berdasarkan pengalaman hubungan dua hala dengan China bahkan kami menandatangani FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) dengan China, Jepun dan Korea Selatan jadi kami sudah tentu sedia berkhidmat.
“Apabila kamu mahu menerokai pasaran China, sudah pasti kamu perlukan pangkalan penting di Malaysia. Kami akan menyediakan pangkalan untuk eksport seperti dilakukan Volkswagen dan Airbus termasuk Infineon dan banyak lagi,” katanya.
Tegas Perdana Menteri, struktur ekonomi negara amat jelas bahkan berdasarkan kerangka ekonomi Madani yang diperkenalkan, Malaysia bakal menjadi hub utama bagi teknologi hijau membabitkan gas hidrogen dan amonia.
“Janakuasa hidronya mungkin yang terbesar di rantau (ASEAN) sehinggakan kami mampu mengeksportnya ke ibu negara baharu Indonesia, (eksport) tenaga dari Sarawak ke Singapura dan kabel dasar laut.
“Ini membuktikan kami mempunyai sumber tenaga yang banyak. Peralihan tenaga juga menjadi fokus kerajaan,” katanya. – UTUSAN










