PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan menyerahkan laporan penuh kepada kerajaan secepat mungkin berhubung prestasi lembaga itu susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022, baru-baru ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya mahu memberi penjelasan segera memandangkan tidak tepat untuk mengatakan rizab LTAT negatif seperti mana dikatakan berlaku pada 2022.
Katanya, LTAT menerusi kenyataan sebelum ini telah menjelaskan bahawa lembaga itu mempunyai rizab positif sehingga mencapai RM160 juta pada akhir tahun kewangan 2022.
“LTAT akan menyerahkan laporan secepat mungkin sebab seperti yang dijelaskan melalui kenyataan yang dikeluarkan semalam oleh LTAT, adalah tidak tepat mengatakan rizab LTAT negatif pada tahun 2022,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, LTAT dan Felda diarah menyerahkan laporan penuh berhubung prestasi lembaga itu dalam masa dua minggu susulan LKAN 2022 baru-baru ini.
Katanya, notis berhubung perkara itu sudah diserahkan kepada agensi berkenaan.
LKAN baru-baru ini mendedahkan, LTAT menghadapi rizab negatif RM388 juta pada tahun 2022 dan Felda pula didapati mempunyai kedudukan tunai dan kesetaraan tunai rendah berbanding kerugian RM808 juta berakhir 31 Disember 2022.
Sebaliknya, LTAT dalam satu kenyataan menjelaskan, lembaga itu mempunyai rizab positif sehingga mencapai RM160 juta pada akhir tahun kewangan 2022 dan bukan negatif seperti dilaporkan oleh LKAN.
Menurutnya, rizab gabungan lembaga tersebut terdiri daripada tiga komponen iaitu keuntungan tertahan, dana rizab dan rizab pendapatan komprehensif lain (OCI) yang secara bergabung mencerminkan kestabilan kewangan LTAT.
Rizab negatif LTAT seperti dibangkitkan LKAN hanya mewakili satu kompenen rizab iaitu rizab OCI.
“Dana rizab terus kekal tidak berubah dan ditetapkan pada kadar dua peratus daripada baki akaun pencarum lantas menyediakan asas kepada kestabilan kewangan.
“Rizab OCI pula terdiri daripada keuntungan atau kerugian terkumpul aset yang belum direalisasi dan dilabelkan mengikut piawaian perakaunan sebagai FVTOCI (Nilai Saksama Pendapatan Komprehensif Lain), mencerminkan turun naik dalam pasaran dan prestasi aset,” katanya. – UTUSAN










