CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memberi tumpuan isu ketirisan bayaran cukai tahun ini bagi memastikan sasaran kutipan cukai RM197 bilion bagi tahun 2024 dapat dicapai.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, pihaknya mendapati masih ada individu yang culas membayar cukai biarpun mempunyai aset dan kekayaan yang tidak setimpal dengan pelaporan cukai yang dibuat.
Beliau berkata, ia juga membabitkan individu yang mempunyai pendapatan dari Malaysia yang disimpan di dalam akaun luar negara yang belum dilapor.
“Kami juga akan menumpukan kepada aktiviti dan transaksi rentas sempadan, harga pindahan domestik,
aktiviti atas talian dan kes ekonomi bayangan.
“Pada masa sama, perlaksanaan E-Invois juga adalah inisiatif utama LHDN pada 2024,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil 2024 di sini, hari ini.
Katanya, selepas 28 tahun penubuhannya, LHDN mencapai pelbagai kejayaan cemerlang dari segala aspek pentadbiran percukaian, pembentukan modal insan dan aplikasi teknologi terkini.
Abu Tariq berkata, LHDN berjaya mencatat kutipan cukai langsung tertinggi dalam sejarah, iaitu sebanyak RM183.34 bilion.
Menurutnya, nisbah kutipan itu adalah 9.91 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu lebih tinggi daripada kadar nisbah cukai langsung KDNK bagi negara-negara di Asia Pasifik lain, yang masing-masing dalam lingkungan lapan peratus.
“Walau apa pun kejayaan yang dicapai, kami tidak alpa dan selesa, sebaliknya terus merangka strategi bagi memastikan sasaran kutipan cukai negara dicapai.
“Kami seluruh warga LHDN kekal tekad dan komited untuk menjalankan tugas secara profesional dan berintegriti, adil dan saksama tanpa mengira status dan pengaruh mana-mana pembayar
cukai,” katanya. – UTUSAN









