KEMAMAN : Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah keluarga, sempat meninggalkan beberapa keping surat dan nota, sebelum bertindak terjun dari Jambatan Bukit Kuang, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, lelaki berbangsa India yang berusia 44 tahun itu dilihat beberapa orang saksi, terjun dari jambatan yang berketinggian 50 meter itu sebelum seorang lelaki warga asing menghubungi pasukan penyelamat kira-kira pukul 7.22 malam.
“Lelaki warga asing itu mendakwa melihat
seorang lelaki bertindak terjun dari jambatan sebelum dibawa arus Sungai Chukai. Perbuatan lelaki itu juga turut dilihat beberapa saksi lain termasuk penduduk tempatan yang berada di tepi sungai,” katanya di sini, hari ini.
Hanyan berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan sebuah motosikal jenis Modenas serta beberapa dokumen peribadi dipercayai milik mangsa yang ditinggalkan di kaki lima jambatan, berhampiran lokasi lelaki itu dipercayai terjun.
“Kita percaya lelaki ini berasal dari Johor Bahru, bekerja di kawasan Kemaman.
“Daripada nota-nota dan surat-surat yang yang ditinggalkan di atas sebuah motosikal, kita percaya lelaki ini mempunyai sedikit masalah keluarga. Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dilakukan, ” katanya.
Hanyan berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan melibatkan kira-kira 30 pegawai dan anggota polis serta bomba, melibatkan kawasan pencarian di permukaaan air dengan keluasan dua kilometer radius.
“Operasi tersebut akan bersambung semula kira-kira pukul 8 pagi ini,” ujarnya. – UTUSAN










