Lebih 500 rakyat Russia di Malaysia keluar mengundi 

Lebih 500 rakyat Russia di Malaysia keluar mengundi 

SUASANA pusat mengundi Pilihan Raya Presiden Kelapan bagi rakyat Russia yang berada di Malaysia di Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 500 rakyat Russia yang bermastautin di negara ini menunaikan tanggungjawab mereka mengundi dalam Pilihan Raya Presiden Kelapan di Kedutaan Russia di sini, semalam.

Pemilihan kali ini diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu dengan calon yang memperoleh kutipan undi tertinggi bakal menggalas tanggungjawab sebagai Presiden baharu republik itu pada Mei ini.

Antara calon yang bertanding ialah Presiden Russia, Vladimir Putin yang dicabar oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Artik dan Timur Jauh Dewan Rakyat, Nikolai Kharitonov; Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Vladislav Davankov dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Dewan Rakyat, Leonid Slutsky.

Tinjaun Utusan Malaysia mendapati, rata-rata rakyat Russia terlibat masih mempercayai kepemimpinan pentadbiran Putin.

Seorang pengundi yang ingin dikenali sebagai Michael, 42, berkata, sokongan terhadap Putin dalam kalangan rakyat Russia masih kukuh.

Katanya, Putin dilihat sebagai pemimpin yang mampu menjaga keamanan dan kedaulatan negara serta memastikan kestabilan politik dan ekonomi.

“Namun saya juga berharap untuk melihat lebih banyak reformasi dalam sistem politik dan perlindungan hak asasi manusia pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Putin dijangka kekal mentadbir buat penggal kelima di republik itu.

Sementara itu, seorang pelajar jurusan seni, Anya, 20, berkata, pentadbiran presiden baharu perlu mempertimban usaha untuk memperluas sistem pendidikan sedia ada.

Katanya, ia bertujuan menyelaraskan pendidikan dengan keperluan industri yang semakin berkembang sekali gus memberikan peluang yang lebih luas kepada generasi muda untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang diinginkan.

“Saya mahu ada lebih banyak peluang pendidikan untuk rakyat di Russia. Saya datang ke Malaysia untuk belajar kerana kursus yang saya inginkan tidak ditawarkan di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander, 48 berkata, rata-rata rakyat Rusia menantikan kemajuan yang akan dibuat oleh pemerintahan baharu dalam memastikan pelaksanaan dasar yang lebih adil, efisien dan progresif bagi memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat.

Katanya, selain aspek ekonomi, isu-isu sosial seperti pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat juga perlu diberi perhatian supaya dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan seluruh rakyat di negara itu.

“Sebagai rakyat, saya ingin melihat lebih banyak ruang untuk kebebasan bersuara dan perlindungan hak asasi manusia di bawah pemerintahan yang akan datang.

“Semoga di bawah pemerintahan presiden baharu, Russia dapat memperkukuh hubungan dengan negara-negara lain termasuk Malaysia. 

“Kerjasama yang terjalin dapat menggalakkan pertukaran perdagangan, pelaburan serta mencipta satu era kestabilan dan kemakmuran yang saling menguntungkan bagi kedua belah pihak,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN