Laporan Ketua Audit: Lima agensi rekod pengurangan RM3.115 b

Laporan Ketua Audit: Lima agensi rekod pengurangan RM3.115 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima agensi persekutuan didapati merekodkan pengurangan semasa tertinggi berjumlah RM3.115 bilion pada 2022. 

Perkara itu berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini. 

Lima agensi berkenaan adalah Felda, Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE), Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut laporan itu, kurangan semasa lima agensi itu disebabkan penurunan hasil, peningkatan perbelanjaan operasi dan penjejasan nilai pelaburan, pinjaman serta aset. 

Perbelanjaan Felda pada 2022 yang berjumlah RM1.947 bilion melebihi pendapatan berjumlah RM0.942 bilion kerana peningkatan penjejasan nilai sebanyak RM0.742 bilion menyebabkan kurangan semasa sejumlah RM1.005 bilion. 

“Perkara ini berlaku antaranya disebabkan oleh penjejasan nilai pelaburan sebanyak RM0.380 bilion, jumlah terhutang oleh syarikat subsidiari sebanyak RM0.193 bilion dan hutang peneroka sebanyak RM0.147 bilion,” kata laporan itu. 

Bagi KWIE, perbelanjaannya pada 2022 yang berjumlah RM1.015 bilion melebihi pendapatan berjumlah RM0.025 bilion menyebabkan kurangan semasa KWIE sejumlah RM0.990 bilion. 

“Perkara ini berlaku kerana KWIE tidak menerima sebarang hasil atas lebihan rebat/surcaj tarif elektik berikutan peningkatan kos bahan api. 

“Selain itu, dana KWIE juga digunakan bagi menampung perbelanjaan rebat sebagai pelan mitigasi untuk mengurangkan impak tarif elektrik kepada pengguna,” kata laporan itu. 

Sementara itu, perbelanjaan RAC pada 2022 yang berjumlah RM0.641 bilion melebihi pendapatan berjumlah RM0.157 bilion menyebabkan kurangan semasa sejumlah RM0.484 bilion.

Katanya, perkara itu berlaku kerana terdapat penurunan hasil jualan barangan lusuh berjumlah RM0.162 bilion pada 2022. 

“Perbelanjaan KWAN pada  2022 yang berjumlah RM0.922 bilion melebihi pendapatan berjumlah RM0.569 bilion menyebabkan kurangan semasa sejumlah RM0.353 bilion.

“Perkara ini berlaku kerana terdapat perbelanjaan perolehan berkaitan vaksin Covid-19 berjumlah RM0.896 bilion,” katanya. 

Dalam pada itu, perbelanjaan DBKL pada tahun 2022 yang berjumlah RM2.792 bilion melebihi pendapatan berjumlah RM2.509 bilion menyebabkan kurangan semasa sejumlah RM0.283 bilion.

“Perkara ini berlaku disebabkan peningkatan perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan berjumlah RM0.267 bilion untuk penyenggaraan kemudahan dan perumahan awam serta pembersihan bandar,” kata laporan itu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN