Laksana latihan kemahiran AI - PM - Utusan Malaysia

Laksana latihan kemahiran AI – PM

Latihan AI
ANWAR Ibrahim menyantuni pengunjung yang merupakan pencari kerja dalam kalangan OKU pada Karnival Kerjaya Kesuma Madani MyFutureJobs OKU dan TVET di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan agensinya, Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) disarankan tidak terikat dengan sistem pendidikan sedia ada bagi menyediakan latihan peningkatan kemahiran kepada pekerja.

Malah, kedua-dua kementerian dan agensi itu diminta menjadi pelopor kepada penyediaan latihan peningkatan kemahiran dalam bidang teknologi khususnya berkaitan kecerdasan buatan (AI) sejajar dengan perkembangan dan perubahan dialami seluruh dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memberi tempoh sebulan kepada Kesuma dan Perkeso untuk merangka dan mencadangkan perubahan dan pelaksanaanya kepada mesyuarat jemaah menteri.

Menurutnya, perubahan dan kejutan baharu dalam penyediaan latihan perlu dilakukan jauh lebih hebat berbanding perkara yang dilakukan pada hari ini.

“Saya hendak menggesa Kesuma dengan Perkeso, tak perlu terikat dengan sistem pendidikan yang ada, ia terpaksa ikut struktur sedia ada. Kesuma dan Perkeso harus ada kebebasan untuk melihat keperluan semasa. 

“Kita dikejutkan umpamanya daripada NVIDIA muncul ‘OpenAI’, ‘ChatGPT’, bantu ikhtiar penemuan baharu yang menggemparkan dalam masa singkat OpenAI sekarang memperkenalkan Sora, apps baharu paling canggih dizahirkan apps yang paling hebat boleh menyaingi Bollywood atau Hollywood.

“Maka, apa kita harus tunggu ada fakulti atau jabatan khas, apakah Perkeso fikir tak ke arah ke depan dan yang tidak terikat dengan latihan bentuk lama,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Karnival Kerjaya Kesuma Madani MyFutureJobs OKU dan TVET, hari ini.

Beliau menjelaskan, Perkeso perlu menjadi pelopor dengan memastikan pengurusannya menguasai bidang AI sebelum berkongsikan kemahiran tersebut kepada pekerja-pekerja dan jabatan atau agensi lain.

Malah, Menteri Kewangan itu menegaskan, program latihan itu penting kerana tidak terdapat dalam kaedah pengajaran formal atau kuliah, sementara ilmu diperoleh melalui kaedah tersebut lima hingga 10 tahun lalu tidak lagi sama dengan sekarang.

“Kuliah kita 10 tahun yang lalu sudah ketinggalan, jurutera yang belajar 15 tahun lalu akan dapati beberapa program dan penemuan baharu jauh lebih ke depan.

“Yang belajar IT (teknologi maklumat) di universiti lima tahun lalu tidak pernah terkenal (terdedah) sangat dengan OpenAI, Chat GPT, dengan penemuan-penemuan baharu.

“Sebab itu saya kata, upskilling harus juga dapat mencungkil tenaga yang terbaharu. Pilih mana-mana pakar yang ada, pinjam mereka sekejap biar dia beri taklimat dan biarlah pengurusan Perkeso dan Kesuma dapat menguasai bidang itu sedikit dan kemudian minta mereka sampaikan kepada dalam kalangan di pilih,” jelasnya.

Tambah Anwar lagi, bagi melaksanakan perubahan tersebut beliau memberi jaminan untuk meneliti perubahan undang-undang serta mengenepikan kerenah birokrasi supaya cadangan itu dapat dibawa kepada menteri dan jemaah menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN