KPM tidak rancang semak sekolah vernakular - Utusan Malaysia

KPM tidak rancang semak sekolah vernakular

Sekolah vernakular
FADHLIN Sidek ditemui pemberita ketika meninjau Sekolah Kebangsaan Saujana Putra di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendirian tegas untuk menghormati Akta Pendidikan 1996 yang mengiktiraf kedudukan sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular di negara ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau tidak bercadang untuk menyemak atau membuat sebarang perubahan berhubung sekolah vernakular walaupun perkara tersebut kerap kali dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

“Kita mendengar pandangan tersebut, tetapi untuk hari ini, kementerian KPM adalah untuk berdiri tegak dan juga memperkukuhkan Akta Pendidikan.

“Sekolah vernakular, seperti mana yang saya tegaskan sebelum ini diiktiraf oleh Akta Pendidikan 1996 dan kita akan teruskan dengan pendirian tersebut berdasarkan akta berkenaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh mencadangkan supaya penilaian dilakukan terhadap pendidikan vernakular yang melibatkan lebih 1,800 sekolah jenis kebangsaand alam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan serta penguasaan Bahasa Melayu.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka itu menyarankan satu kajian menyeluruh dilakukan berhubung ruang dan peluang penambahbaikan ekosistem pendidikan kebangsaan bagi memberi insentif serta tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa.

Malah, Fadhlina menjelaskan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar di sekolah jenis kebangsaan yang disifatkan menjadi agenda utama kementeriannya untuk memastikan mereka menguasainya.

“Itu memang agenda besar kita, sebab itu saya fikir dalam kedudukan hari ini, bahasa kebangsaan masih lagi menjadi keutamaan dan komitmen besar kita di samping Bahasa Inggeris,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan sekali lagi berkenaan garis panduan operasi sekolah ketika bulan puasa dan meminta guru memainkan peranan untuk memastikan pelajar berlainan agama saling menghormati antara satu sama lain.

“Seperti biasa saya sudah ulangi, yang pertama kantin mesti dibuka, kedua mesti ada dari segi pendidikan berkaitan dengan kesedaran dan hormat khususnya sekolah-sekolah yang mempunyai anak-anak bukan beragama Islam.

“Jadi, proses pendidikan untuk memahamkan dan menghormati antara satu sama lain sangat penting dalam konteks Ramadan. Saya ingat, dalam proses tersebut guru-guru mempunyai pengalaman menguruskan sebarang isu ataupun dari segi penghormatan diberikan oleh semua pihak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN