PEKAN: Kilang pemprosesan nadir bumi mampu menjana pendapatan lebih RM7 bilion setahun jika direalisasikan namun dibantah oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bimbang kesannya kepada alam sekitar.
Mineral tersebut dianggarkan mendapat permintaan antara 40,000 hingga 70,000 tan metrik pada 2030.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Perunding Utama Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber (Pusat SMaRRT) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Datuk Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, daripada kajian dijalankan, kilang pemprosesan nadir bumi memang begitu diperlukan, bukan saja untuk memproses nadir bumi karbonat dari lombong, tetapi untuk membuka jalan ke arah industri hiliran yang tinggi nilainya seperti pembuatan magnet dan motor.
“Anggaran kasar kos untuk membina kilang tersebut contohnya bagi kapasiti pengeluaran 20,000 hingga 30,000 tan setahun antara RM1.5 hingga RM2 bilion.
“Ia bergantung kepada kualiti nadir bumi karbonat, kaedah pemprosesan dan lain-lain faktor. Walaupun agak tinggi kosnya tetapi hasil pendapatan yang dijana boleh mencecah lebih RM7 bilion setahun dan nadir bumi oksida ini amat tinggi permintaannya yang mana sekarang ini ia dikeluarkan oleh kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng, Kuantan dan kilang dari China.
“Di samping itu, peluang pekerjaan dianggarkan boleh mencapai 1,300 hingga 1,500 orang yang mana Malaysia mempunyai tenaga mahir dan separa mahir serta keupayaan melatih tenaga kerja baru berdasarkan kesediaan kumpulan graduan teknikal dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan serta Akademi Mineral Malaysia Pahang,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan bahawa, Malaysia perlu segera membina kilang pemprosesan nadir bumi oksida yang merupakan keutamaan kritikal negara berdasarkan permintaan cukup tinggi bahan mineral itu di seluruh dunia.
Terdapat 10 negeri membabitkan 29 kawasan mempunyai unsur IAC-REE dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan metrik dengan nilai pasaran RM810 bilion. Negeri terbabit adalah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
Mengulas lanjut, Badhrulhisham berkata, struktur kilang memproses nadir bumi itu sedang dibangunkan oleh kontraktor berdasarkan reka bentuk yang dibangunkan daripada hasil kajian UMPSA.
“Final struktur dan perincian akan dimuktamadkan dalam tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, perlu diingat bahawa kilang memproses nadir bumi Lynas pada awalnya terdiri daripada mereka yang dahulunya bekerja dalam bidang minyak dan gas.
“Dengan pengalaman mengendalikan loji-loji kimia, minyak dan gas, kemudian dilatih dalam industri nadir bumi menjadikan mereka antara pengendali berpengalaman di dunia dalam bidang nadir bumi,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sedia meneliti dan mengkaji untuk meneroka sumber nadir bumi, sekali gus membina kilang pemprosesan bahan mineral itu di negeri ini.
“Kita mengakui Pahang antara 10 negeri yang mempunyai unsur nadir bumi Lempung Jerapan Ion (IAC-REE) berkata, kajian menyeluruh perlu dibuat kerana perkara itu membabitkan kawasan alam sekitar dan perhutanan.
“Kita sahkan nadir bumi memang ada di Pahang tetapi banyak mana sedang diteliti pakar dalam bidang berkenaan.
“Kerajaan Pahang amat positif dalam mengusahakan pengeluaran hasil nadir bumi kerana secara langsung menjanjikan pulangan hasil dan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Skim Tanah Rakyat (STR) Felda Pahang di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 14 di sini.
Menyokong pembinaan kilang memproses nadir bumi ialah Kerajaan Negeri Kelantan yang melihat ia perlu diberikan keutamaan kepada negeri-negeri pengeluar sumber tersebut.
Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, langkah tersebut bertepatan dengan saranan Perdana Menteri yang mahu hasil bumi itu diproses dalam negara.
“Kalau hendak buat kilang, pastikan negeri-negeri yang ada hasil seperti Kelantan, Terengganu atau Kedah. Bagi saya lebih baik kita proses sendiri daripada hantar ke China.
“Setakat ini, hanya China yang mempunyai kilang terbesar memproses nadir bumi. Untuk makluman, ketika ini Kelantan sedang membuat eksplorasi dan telah kenal pasti beberapa tempat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohamed Fadzli memberitahu, pihaknya sudah mengadakan lawatan projek rintis memproses nadir bumi itu di Perak yang dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, projek tersebut merupakan usahasama Kerajaan Persekutuan dengan China.
Bagi Sahabat Alam Malaysia (SAM) pula, mereka melihat pembinaan kilang memproses nadir bumi oksida akan menyebabkan pencemaran air dan menjejaskan alam sekitar yang tidak sepadan dengan keuntungan dijana melombong sumber bumi itu.
Setiausaha Kehormatnya, Mageswari Sangaralingam berkata, oleh itu, pihaknya membantah pembinaan kilang kerana tidak mahu aktiviti itu menjejaskan penduduk setempat.
Menurut beliau, pendedahan jangka panjang kepada kawasan perlombongan nadir bumi bukan sahaja menjejaskan kesihatan penduduk malah dikhuatiri memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak.
“Pencemaran air akibat jumlah pepejal terampai, sulfat dan bahan pencemar lain boleh menyebabkan kemerosotan alam sekitar dan kemerosotan biodiversiti dalam aliran sungai.
“Pemulihan adalah amat sukar kerana kepekatan larutan larut resap yang tinggi boleh ditarik semula ke atas lapisan tanah dan memusnahkan tumbuh-tumbuhan di permukaan disebabkan oleh daya kapilari yang mengelilingi lubang larut resap,” katanya ketika dihubungi.
Malaysia menyimpan tiga unsur nadir bumi Lempung Jerapan Ion (IAC-REE) iaitu Praseodymium (Pr) berharga RM577,212 satu metrik tan, Neodymium (Nd) RM593,336 dan Dysprosium (Dy) berharga RM1.9509 juta satu metrik tan yang merupakan elemen utama dalam penghasilan magnet berkuasa tinggi bagi menghasilkan motor elektrik kereta hibrid/elektrik, turbin angin dan perkakasan elektrik rumah serta industri.
Tiga negeri di Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang serta dua di negeri di utara iatu Perak dan Kedah merekodkan jumlah IAC-REE melebihi satu juta tan.
Terengganu paling banyak mempunyai IAC-REE di lima kawasan iaitu Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Kemaman dan Dungun membabitkan 7.2 juta tan dengan nilai pasaran berjumlah RM362 bilion.
Kelantan negeri kedua membabitkan Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang membabitkan 2.5 juta tan IAC-REE, nilai pasaran RM2.9 bilion, Perak (1.6 juta tan), Pahang (1.2 juta tan) dan Kedah (1.1 juta tan).
Menurut statista.com pada 2022 sahaja, sejumlah kira-kira 300,000 tan metrik nadir bumi oksida dikeluarkan di seluruh dunia bagi memenuhi keperluan global. Jumlah ini adalah peningkatan hampir 175 peratus berbanding nilai pengeluaran satu dekad sebelumnya (2012-110,000 tan metrik).
Adamas Intelligence pula melaporkan, dianggarkan sekitar 48,000 tan metrik Pr, Nd dan Dy oksida diperlukan pada 2030 bagi memenuhi keperluan 25 hingga 30 juta motor elektrik bagi kegunaan kenderaan elektrik sahaja.
US Department of Energy melalui laporan pada 24 Februari 2022 menyatakan bahawa permintaan global bagi magnet berasaskan nadir bumi pada 2020 berjumlah 119,200 tan metrik yang dijangka meningkat kepada 387,000 tan metrik pada 2030 seterusnya 753,200 tan metrik pada 2050.
China mengawal pasaran bagi unsur nadir bumi dengan menghasilkan kira-kira 70 peratus bekalan dunia dan memproses hampir 90 peratus galian tersebut. – UTUSAN










