PETALING JAYA: Kerajaan bersedia untuk mempertimbang cadangan untuk memulakan semula operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang tanpa dikesan sejak 10 tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya turut bersedia untuk menjemput pihak firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity ke Malaysia untuk memberi taklimat kepadanya.
Menurut beliau, ia susulan daripada cadangan waris mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut untuk melakukan proses pencarian ‘no cure, no fee’ atau tiada penemuan, tiada bayaran.
“Kami kini sedang menunggu untuk mereka memberikan tarikh yang bersesuaian dan saya berharap pertemuan tersebut dapat dilakukan tidak lama lagi. Kerajaan Malaysia teguh dengan azam untuk mencari MH370.
“Saya berharap keluarga dan rakan-rakan mangsa akan terus tabah. Anda akan sentiasa berada dalam fikiran serta doa kami, kami semua akan berdiri di sisi anda,” katanya sempena Acara Peringatan Tahunan Ke-10 untuk Penerbangan Malaysia Airlines MH370.
Pada 8 Mac 2014, pesawat yang mempunyai sebanyak 239 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China namun hilang daripada skrin radar dua jam kemudian.
Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di kawasan berkeluasan berjuta-juta kilometer persegi di selatan Lautan Hindi namun pesawat MH370 atau bangkainya gagal ditemukan sehingga kini.
Mengulas lanjut, Anthony Loke yang juga merupakan Ahli Parlimen Seremban itu tragedi yang pernah menggemparkan dunia itu merupakan wakeup call terhadap sektor penerbangan sama ada di dalam mahupun luar negara.
Jelasnya, kerajaan mengambil serius terhadap laporan siasatan keselamatan lampiran 13 oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan melaksanakan perubahan yang diperlukan untuk meningkatkan tahap keselamatan penerbangan.
“Di peringkat antarabangsa, Malaysia turut menyokong usaha berterusan ICAO untuk mengukuhkan rejim pengesanan pesawat global.
“Perubahan yang dibuat ini untuk memastikan tragedi tersebut tidak berulang. Tetapi, saya juga sedar bahawa tugas itu masih tidak lengkap,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan di peringkat antarabangsa untuk mencari MH370.
“Kami turut bersedih kerana misi mencari pesawat itu masih belum memberikan penutupan yang dicari oleh waris-waris mangsa MH370,” ujarnya. – UTUSAN










