PETALING JAYA: Kegembiraan lima sekeluarga menjala berakhir tragedi apabila empat daripada mereka dibawa arus dalam kejadian kepala air di Sungai Kota Perdana, Seri Kembangan, dekat sini hari ini.
Difahamkan, mangsa yang terselamat merupakan seorang lelaki berusia 40 tahun manakala anak lelakinya berusia sembilan tahun ditemukan dengan selamat oleh orang awam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.35 petang berkaitan kejadian itu.
Katanya, sepasukan anggota dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang serta dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Shah Alam.
“Komander operasi menerima maklumat maklumat daripada ayah mangsa terdapat tiga orang kanak-kanak iaitu dua kanak-kanak lelaki dan perempuan serta isterinya disyaki lemas di sungai.
“Bagaimanapun, seorang daripada anak lelaki ditemukan orang awam dalam keadaan selamat pada 5.18 petang.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika mereka sedang menjala sebelum berlaku kepala air dan dibawa arus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Mukhlis, kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dijalankan.- UTUSAN










