PETALING JAYA: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang terjatuh dari tingkat 16 Blok B, Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh dekat sini, didakwa hiperaktif.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, berdasarkan siasatan, mangsa dikatakan memanjat dan membuka tingkap sebelum terjatuh.
“Ketika kejadian, kedua ibu bapa berusia lingkungan 30-an sedang tidur di dalam bilik.
“Siasatan lanjut masih dijalankan sama ada terdapat unsur kecuaian oleh ibu bapa mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sehubungan itu, tambahnya, pihak polis telah merakam keterangan ibu bapa kanak-kanak itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kita masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya,” ujarnya.
Semalam, media melaporkan polis menerima laporan kejadian daripada seorang lelaki tempatan pada 4.28 petang.
Mohd. Hafiz berkata, ketika kejadian kedua ibu bapa mangsa berusia lingkungan 30-an sedang lena tidur sebelum ibu mangsa terjaga dan melihat kanak-kanak lelaki itu sudah berada di bahagian luar tingkap di ruang tamu.
Katanya, ibu mangsa tidak sempat untuk mendapatkan mangsa sebelum mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu terjatuh ke bawah. – UTUSAN










