KUALA LUMPUR: Pulangan pelaburan simpanan syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat kepada 5.40 peratus tahun lalu daripada 4.75 peratus pada 2022, iaitu peningkatan sebanyak 0.65 peratus.
Peningkatan itu menyaksikan jurang agihan dividen antara simpanan syariah dan konvensional KWSP semakin mengecil berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan hanya 0.1 peratus perbezaan pada tahun lalu.
Mengulas perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, perbezaan dividen yang mengecil itu didorong prestasi saham berkaitan teknologi terutama di Amerika Syarikat (AS) yang lebih baik tahun lalu.
Ujarnya, sebahagian besar syarikat teknologi adalah berdasarkan syariah, jadi prestasi yang cemerlang akan menyokong pulangan lebih baik untuk simpanan syariah.
“Prestasi pasaran ekuiti terutama di AS dipacu tujuh syarikat teknologi. Sebahagian syarikat teknologi adalah syarikat syariah, justeru pulangan dalam syariah meningkat,” katanya dalam sidang akhbar sempena taklimat prestasi kewangan KWSP 2023 semalam.
Namun, Ahmad Zulqarnain berkata, jurang yang mengecil itu tidak semestinya secara penuh dan akan berterusan memandangkan pulangan adalah bergantung kepada prestasi pelaburan.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan KWSP akan memastikan pulangan bagi simpanan persaraan akan lebih tinggi dua peratus daripada kadar inflasi.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai pengaruh prestasi ringgit, Ahmad Zulqarnain berkata, ringgit ketika ini diniagakan di bawah nilai sebenar (undervalued).
Ujarnya, dalam menguruskan pelaburan, KWSP akan membuat keputusan dengan melihat sama ada aset itu terkurang nilai ataupun tidak, namun ia bukanlah satu-satunya faktor yang diambil kira.
“Secara prinsipnya, apabila sesuatu itu di bawah nilai, kami akan mendapat keuntungan daripada pelaburan yang dibuat,” katanya.
Jelas beliau, strategi pelaburan KWSP adalah didorong oleh Strategi Alokasi Aset (SAA) dan pihaknya membuat kajian semua SAA setiap lima tahun dan amat berdisiplin dalam memperuntukkan aset berdasarkan perkara tersebut.
“Selagi kami berbuat demikian, kami yakin dalam menyampaikan pulangan pelaburan secara konsisten,” ujarnya. – UTUSAN










