BUTTERWORTH: Jumlah keanggotaan ahli-ahli kesatuan sekerja di negara ini telah mencapai sasaran apabila jumlahnya kini mencecah 1.08 juta orang pada awal tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Pekerja Malaysia, Mohd. Asri Abdul Wahab berkata, pihaknya sebelum itu memang menyasarkan untuk melihat jumlah ahli-ahli pelbagai kesatuan sekerja di negara ini mencapai 1 juta orang pada tahun ini juga.
Bagaimanapun, katanya, sasaran itu berjaya dicapai lebih awal apabila angkanya kini telah melepasi 1.08 juta orang.
“Sasaran kita ialah 1 juta ahli untuk dicapai pada tahun 2024, tapi sekarang ahli-ahli kesatuan sekerja telah mencecah 1.08 juta orang pada awal tahun lagi.
“Jadi, kita sasarkan penambahan sehingga 50,000 ahli lagi sehingga hujung tahun ini dan kita yakin jumlah ini berjaya dicapai memandangkan minat pekerja untuk menjadi ahli dalam kesatuan sekerja kini semakin meningkat kerana mereka sedar kepentingan untuk mempunyai kesatuan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Asri menghadiri program transformasi tenaga kerja melalui latihan, produktiviti dan upah tahun 2024.
Objektif utama pelaksanaan program transformasi tenaga kerja melalui latihan, produktiviti dan upah tahun 2024 ini adalah untuk untuk memberi penerangan kepada pelbagai golongan sasar termasuk pekerja, wakil majikan dan kesatuan sekerja berhubung dengan pelaksanaan gaji minimum dan pembangunan program latihan serta kepentingannya kepada produktiviti negara.
Menurut Mohd Asri, pada masa ini, terdapat 756 buah kesatuan sekerja berdaftar yang aktif di seluruh negara.
“Kesatuan-kesatuan sekerja ini diberikan peruntukan oleh kerajaan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dan latihan yang sesuai dengan ahli masing-masing.
“Jadi, apabila kesatuan ini aktif menjalankan program latihan atau aktiviti, secara tidak langsung, ia dapat menarik minat ahli-ahli baharu untuk menyertai kesatuan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Asri berkata, pihaknya turut menjalankan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran para pekerja mengenai kepentingan untuk mereka melibatkan diri dalam kesatuan sekerja.
“Para pekerja perlu sedar bahawa ada kesatuan yang dapat menjaga hak mereka dan membantu meningkatkan produktiviti pekerjaan mereka,” katanya. – UTUSAN










