GEORGE TOWN : Polis menahan 97 individu termasuk 20 warga emas dalam 14 serbuan berasingan di negeri ini bulan lepas kerana disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, serbuan itu dibuat susulan pelancaran Op Limau 2024 selama 10 hari bermula 5 Februari hingga 15 Februari lalu bagi membanteras aktiviti perjudian dalam bangunan dan judi di tempat bebas di negeri ini.
Katanya, daripada 14 serbuan yang dilaksanakan sepanjang tempoh operasi itu, 10 daripadanya merupakan serbuan judi dalam bangunan manakala baki empat lagi serbuan ialah kegiatan judi yang dilakukan di tempat bebas.
“Mereka yang ditahan pula terdiri daripada pelbagai bangsa dan berusia dalam lingkungan umur antara 18 hingga 75 tahun.
“Siasatan juga mendapati, 35 daripada keseluruhan individu yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau kesalahan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut Mohamed Usuf, polis turut merampas pelbagai barangan yang digunakan dalam aktiviti perjudian itu serta wang tunai berjumlah RM40,197 dipercayai hasil daripada kegiatan itu dan kesemua tangkapan kini disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sementara itu, katanya, sebanyak 46 serbuan turut dilaksanakan dalam tempoh yang sama ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan aktiviti pusat hiburan tanpa lesen dan menawarkan khidmat pelayan serta pelacuran.
“Seramai 73 individu yang terdiri daripada 26 lelaki dan 47 wanita pelbagai bangsa dan warganegara berusia 20 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi ini.
“Kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 372B Keseksaan, Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 serta Seksyen 6(1) (c), Seksyen 15(1) dan Seksyen 558 Akta Imigresen 1959/64,” katanya yang memberitahu, wang tunai sebanyak RM3,345 turut dirampas dalam operasi tersebut.
Dalam pada itu katanya, setakat semalam, polis negeri ini telah merekodkan sebanyak 254 serbuan dalam Op Dadu dengan jumlah tangkapan seramai 376 orang yang disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.-UTUSAN










