KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa semua pihak menghentikan semua isu berkaitan agama, institusi diraja dan kaum (3R) kerana perkara tersebut boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman awam di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kes-kes berkaitan 3R semakin ‘panas’ namun pihaknya tidak pernah berdiam diri melalui tindakan proaktif termasuk membuka kertas siasatan berdasarkan laporan polis.
Menurut beliau, pihak polis sangat konsisten dan tidak memilih bulu dalam siasatan membabitkan isu 3R.
“Tidak kisah ia dibuat ahli parlimen kerajaan atau pembangkang, kita akan buka dan siasat.
“Selain itu, JSJ akan mempertingkatkan lagi maklumat dan risikan terhadap usaha-usaha yang cuba memburukkan keadaan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Mohd. Shuhaily turut meminta orang ramai menyerahkan kepada penguat kuasa bagi menguatkuasakan undang-undang berkaitan isu 3R.
“Kami cukup bimbang ada perkara tidak libatkan isu perkauman tetapi apabila membabitkan dua kaum berbeza boleh jadikan pemangkin isu ini.
“Kita tidak mahu lihat ada insiden ‘Kampung Medan’ lain, ia hanya memburukkan imej negara. Jangan melampaui batas, jadi semua pihak perlu hentikan isu ini,” tegas beliau.
Ditanya berkaitan kejadian ugutan kilang pembekal stoking tertulis kalimah Allah di Batu Pahat, Johor, beliau berkata, pihak polis membuka kertas siasatan dan perkara itu masih dalam tindakan.
Semalam media melaporkan, Pengarah Eksekutif Kumpulan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, suami isteri itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.- UTUSAN










