Hentikan polemik larangan masuk sekolah - Utusan Malaysia

Hentikan polemik larangan masuk sekolah

HAIM Hilman Abdullah (dua kanan) membantu seorang penerima mencuba songkok yang ingin dipakai ketika hari raya pada Majlis Iftar Ramadan Perdana dan Penyampaian sumbangan di Mydin Taman Batek, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polemik berkaitan larangan mana-mana pihak termasuk ahli politik mengadakan program atau diundang menyertai program di kawasan sekolah perlu dihentikan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, polemik itu boleh merugikan masa depan pelajar dalam usaha membina asas yang betul bagi membangunkan negara.

“Kita tidak mahu mecari salah mana-mana pihak tetapi biarlah polemik larangan ini berakhir di sini dan sama-sama kita bergerak ke hadapan dengan tidak mencampur-adukkan antara politik dengan kepentingan untuk pelajar.

“Kita harus mempunyai jiwa besar dan jangan jadi ahli politik sepanjang masa sebaliknya harus sama-sama menggerakkan untuk membina negara yang lebih dinamik yang bakal diurus oleh anak muda suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Iftar Ramadan Perdana dan Penyampaian Sumbangan kepada asnaf di Pasaraya Mydin Cawangan Taman Batek, di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 67 kanak-kanak yang berumur antara tujuh hingga 12 tahun diraikan dan diberi peluang memilih sendiri pakaian raya mereka.

Sementara itu, seorang penerima, Mubarokah Saiful, 12, dari Pusat Jagaan Baitul Mahabbah berkata, dia teruja kerana dipilih sebagai penerima dalam program itu.

“Ini merupakan kali pertama saya diberi peluang memilih sendiri pakaian raya yang akan dipakai pada hari lebaran nanti. Lebih gembira apabila adik saya, Aisyah, 10, turut sama berada dalam program ini,” katanya.

Menurut Mubarokah, ayahnya telah berpisah dengan ibunya beberapa tahun lalu dan kini dia dan Aisyah serta dua lagi adik lelaki mereka Fateh, 8, dan Haidar, 7, tinggal di pusat jagaan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN