Helikopter Maritim Malaysia berjaya dibawa naik, 4 kru stabil

Helikopter Maritim Malaysia berjaya dibawa naik, 4 kru dilapor stabil

HELIKOPTER AW139 milik Maritim Malaysia. - FOTO MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa pagi semalam berjaya dibawa naik ke daratan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana (M) Datuk Hamid Mohd Amin berkata, proses itu dilaksanakan dengan bantuan pihak syarikat penyelenggaraan pesawat udara agensi ini kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi.

Katanya, pesawat berkenaan kemudiannya dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang seterusnya dibawa ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada pukul 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.

“Sementara itu, empat kru yang terlibat dalam insiden berkenaan dilaporkan stabil dan selamat serta menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Maritim Malaysia memohon agar kesemua kru terbabit diberikan ruang dan tidak diganggu mana-mana pihak bagi tujuan menstabilkan keadaan setelah melalui kejadian semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.55 pagi semalam, helikopter terbabit dengan nombor pendaftaran pesawat M72-01 itu diterbangkan Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim melakukan pendaratan cemas ketika menjalankan latihan menyelamat.

Hamid berkata, sebagai rekod, helikopter AW139 nombor pendaftaran M72-01 merupakan salah satu daripada tiga siri pesawat udara AW139 yang diletakkan di bawah Skuadron Phoenix, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia yang diterima daripada pihak kerajaan pada tahun 2010.

Mencatat rekod hampir 5,000 jam penerbangan, katanya, helikopter terbabit melaksanakan pelbagai misi penerbangan operasi seperti Op Naga, Op Kuda Laut, Op Pagar Laut, Op Benteng, Op Jangkar Haram, Op Patkor Optima, Op Redback dan lain-lain operasi penguatkuasaan.

Selain itu, pesawat berkenaan banyak terlibat dengan pelbagai misi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan Maritim Malaysia.

“Antara pencapaian AW139 M72-01 sepanjang melakukan tugasannya ialah berjaya menyelamat lima orang pemancing yang terkandas akibat cuaca buruk di Pulau Batu Berantai di Barat Laut Pantai Remis, Jeram pada 2022, 3 batu nautika daripada lokasi insiden.

“AW139 M72-01 juga merupakan pesawat yang sering membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi melakukan force boarding,” katanya.

Antara kejayaan terbaharu ialah membantu Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) bagi menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia pada tahun lalu.

Selain itu, katanya, sepanjang 14 tahun perkhidmatan AW139M72-01 bersama Maritim Malaysia, pesawat berkenaan turut terlibat dengan beberapa siri pemindahan perubatan (MADEVAC) mangsa sama ada di pulau atau di pelantar minyak yang berada di perairan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN