ARAU: Harga makanan di bazar Ramadan sekitar negeri ini didapati sedikit meningkat berbanding tahun lalu, namun kadarnya tidak begitu ketara dan membebankan.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norazah Jaapar berkata, hasil pemerhatian di bazar Ramadan sekitar Bintong, Kuala Perlis dan Arau mendapati kenaikan harga membabitkan beberapa jenis makanan antara lima ke 15 peratus.
Katanya, antara makanan yang menunjukkan kenaikan harga adalah seperti martabak, ayam golek, roti john dan beberapa lagi namun kenaikan tersebut tidak terlalu ketara.
“Kenaikan makanan-makanan ini adalah dipengaruhi oleh kenaikan harga barangan mentah dan menyebabkan peniaga terpaksa juga menaikkan sedikit harga.
“Bagaimanapun, kita juga mendapati masih ramai peniaga yang menawarkan harga berpatutan dan di sinilah pengguna perlu bijak memilih bersesuaian dengan kemampuan mereka,” katanya sewaktu turun padang bagi mengikuti Ops Pantau 2024 di Bazar Ramadan Rahmah Madani di sini, semalam.
Ops Pantau 2024 merangkumi aspek penguatkuasaan oleh KPDN yang memberi penumpuan di bazar Ramadan, Aidilfitri, pasar-pasar awam dan aktiviti jualan dalam talian.
Dalam perkembangan berkaitan, Norazah berkata, terdapat dua lokasi Bazar Ramadan Rahmah Madani telah dipilih di negeri ini iaitu di Persiaran Wawasan, Kangar dan Arau.
Katanya, seramai 33 peniaga di Bazar Ramadan Rahmah Madani Persiaran Wawasan dan 13 peniaga di Bazar Ramadan Rahmah Madani Arau telah mengambil bahagian bagi bersama-sama menawarkan menu makanan berpatutuan bawah harga RM5.
Katanya, KPDN mengharapkan agar lebih ramai peniaga dapat terlibat dalam inisiatif berkenaan tambahan pula tempoh berpuasa juga masih panjang.
“Mereka yang berminat untuk turut sama dalam inisiatif ini boleh berhubung dengan Pejabat KPDN negeri untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Sementara itu, katanya, menerusi Ops Pantau 2024, pihaknya memberi penekanan terhadap penandaan tanda harga dan aktiviti yang mempunyai unsur-unsur pencatutan.
“Kekerapan pemeriksaan juga akan ditingkatkan bukan hanya melibatkan anggota KPDN sahaja namun juga membabitkan Pegawai Pemantau Harga yang akan digerakkan pada bulan Ramadan ini,” katanya.-UTUSAN










