Gelombang Haba: KPM boleh tutup sekolah - KKM

Gelombang Haba: KPM boleh tutup sekolah – KKM

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh mengambil tindakan menutup sekolah sekiranya status cuaca bertukar kepada Gelombang Haba di kawasan-kawasan yang terkesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, tindakan itu boleh diambil mengikut Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia Semasa Cuaca Panas yang dikeluarkan pada 18 April 2023.

Menurut beliau, ini termasuk Pelan Tindakan Bagi Menangani Gelombang Haba 2016 dan Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Akibat Gelombang Haba 2021 yang dikeluarkan KKM.

Memuatkan artikel berkaitan…

KKM pada masa sama menasihatkan agar semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan buat sementara waktu di semua lokasi dengan status Cuaca Panas Tahap 1.

“Pendedahan kepada cuaca panas dengan berpanjangan boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

“Murid-murid sekolah adalah di antara golongan berisiko tinggi mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas disebabkan faktor fisiologi dan juga kurang pengambilan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan status cuaca panas yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam semalam, negeri Perlis mengalami Gelombang Haba (suhu maksimum harian melebihi 37°C hingga 40°C) sejak 19 Mac lalu.

Manakala sebahagian besar negeri Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Sik, Baling) dan sebahagian negeri Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta) mengalami cuaca panas Tahap 1 (suhu maksimum harian melebihi 35°C hingga 37°C).

Pada masa yang sama, MET Malaysia juga menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35°C masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sehingga April depan.

Muhammad Radzi berkata, KKM menasihati ibu bapa agar memastikan anak-anak untuk mengambil air secukupnya .

Bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadan ini, beliau menasihatkan meminum air mencukupi ketika bersahur dan berbuka puasa dan mengawasi tahap hidrasi dan kesihatan anak-anak sepanjang berpuasa.

“Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca- panas/) .

“Ikuti langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM (http://www.myhealth.gov.my/cuacapanas-a-kesihatan),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini