GEORGE TOWN : Seorang tauke pub ditahan bersama isteri serta seorang lagi rakan mereka kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dalam beberapa serbuan berasingan iaitu di Tanjong Tokong dan Gelugor, Khamis lalu.
Dalam operasi terancang yang berlangsung sehingga awal pagi Jumaat itu, kesemua syabu yang dirampas dianggarkan seberat 9,310 gram dengan nilai RM307,230.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, tauke pub itu ditahan dalam serbuan pertama berhampiran sebuah pasar raya di Tanjung Tokong dan polis turut merampas lima paket ketulan kristal seberat 5.17 kilogram (kg) bernilai RM170,610 bersama suspek.
“Hasil soal siasat dengan dipandu arah oleh suspek, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Gelugor dan menahan isteri tauke berkenaan selain merampas empat paket ketulan kristal seberat 4.14 kg bernilai RM136,620.
“Polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah di Gelugor dan menahan seorang lagi lelaki yang merupakan rakan kepada suspek pertama dan disyaki ahli dalam sindiket pengedaran dadah berkenaan.Bagaimanapun, tiada dadah dirampas bersama suspek ketiga,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.
Menurut Mohamed Usuf, ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia antara 36 hingga 41 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah untuk pasaran di sekitar negeri ini sejak Februari lalu.
“Selain dadah, polis turut menyita wang tunai, kereta Toyota Avanza, motosikal BMW dan pelbagai barang kemas yang kesemuanya bernilai RM99,602.
“Kesemua mereka kini direman sehingga 21 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya yang memberitahu, kesemua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 45,000 penagih atau 45,000 kali penggunaan.
Dalam kes berasingan, Mohamed Usof berkata, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun di sebuah apartment di Batu Lanchang, di sini pada 4 petang, Jumaat lalu.
“Polis kemudiannya merampas dadah jenis ketamin seberat 26 gram sebelum menyerbu sebuah lagi rumah lain yang disewa suspek juga di Batu Lanchang.
“Dalam serbuan di rumah kedua itu, polis merampas ketamin seberat 110 gram, 29 biji pil ekstasi, methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (63 gram) dan 30 biji pil eramin 5 yang dipercayai kesemya dadah tersebut digunakan untuk dicampur dalam pek minuman segera terkenal,” katanya.
Beliau menambah, berpandukan maklumat dari lelaki itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah di Jalan Datuk Keramat, di sini dan merampas 138 bungkusan campuran minuman segera mengandungi dadah jenis MDMA seberat 2,663.6 gram.
“Suspek yang bergerak seorang diri dipercayai bergiat aktif sejak Oktober tahun lepas dan semua dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 9,000 penagih. Ujian air kencing yang dijalankan kemudian mendapati, lelaki itu positif dadah dan suspek kini direman sehingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.-UTUSAN










