GEORGE TOWN : Polis menahan empat suspek warga tempatan termasuk pasangan suami isteri kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Tanjong Tokong dan pusat bandar di sini, semalam.
Dalam operasi yang berlangsung selama lebih 12 jam bermula pukul 10 malam itu, polis turut merampas 21 kilogram (kg) dadah jenis ganja termasuk yang dikategorikan sebagai ‘jantung ganja’ yang keseluruhannya dipercayai bernilai sehingga RM66,000.
Difahamkan, jantung ganja itu merupakan pucuk bunga ganja dan ia bernilai tinggi iaitu berharga RM5,000 sekilogram berbanding ganja biasa yang bernilai sekitar RM3,000 sekilogram.
Ketua Polis Pulau Pinang merangkap Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, secara keseluruhannya, tiga serbuan telah dilakukan dan keempat-empat suspek yang ditangkap itu berusia antara 28 tahun hingga 41 tahun serta dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.
“Dalam serbuan pertama, pihak polis berjaya menangkap dua suspek lelaki yang disyaki menjadi ‘runner’ (penghantar barangan) untuk sindiket ini khususnya di kawasan tempat letak kereta di George Town.
“Polis kemudian menjumpai sebuah kotak berwarna coklat yang di dalamnya mengandungi lima ketulan mampat dadah jenis ganja anggaran berat 5,000 gram bernilai RM17,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Kok Chin, susulan penahanan dua ‘runner’ itu, polis seterusnya berjaya menangkap seorang lagi lelaki tempatan yang disyaki ketua sindiket itu di kawasan Tanjung Tokong.
“Hasil daripada soal siasat yang dibuat terhadap suspek, polis kemudian menyerbu sebuah kondominium mewah di Tanjung Tokong dan menahan seorang wanita yang merupakan isteri kepada ketua sindiket ini,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut polis di kondominium itu menemukan sebuah kotak plastik berwarna biru di dalamnya mengandungi 14 ketulan mampat daun-daun kering dipercayai dadah jenis ganja dengan anggaran berat 12,000 gram yang bernilai RM37,000.
“Polis juga menjumpai sebuah kotak berwarna coklat yang mengandungi 14 bungkusan plastik dadah jenis ganja anggaran berat 4,000 gram bernilai RM12,000. Untuk pengetahuan, pucuk atau ‘jantung’ yang turut dirampas itu mempunyai permintaan yang tinggi dan harganya juga lebih mahal daripada ganja sedia ada. Bagaimanapun, pengeluaran pucuk ganja ini adalah amat terhad,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini telah bergiat aktif sejak September tahun lalu untuk pasaran tempatan.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramαι 50,000 orang atau 50,000 kali penggunaan,” katanya yang memberitahu, hasil ujian saringan air kencing mendapati, seorang tangkapan positif dadah jenis THC dan semakan lanjut turut mengesahkan bahawa suspek mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.
“Kesemua tangkapan akan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 14 Mac untuk siasatan dan kes disiasat di bawah seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Selain itu, ujar beliau, polis turut menyita dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Proton dan sebuah motosikal dengan jumlah keseluruhan sitaan adalah sebanyak RM12,500.-UTUSAN










