ALOR SETAR: Polis menahan dua individu lelaki yang dipercayai mencetuskan kekecohan dan menghalang tugas anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Dataran Medan Bandar Alor Setar, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kedua-dua mereka yang merupakan peniaga berusia 33 dan 42 tahun itu ditahan petang, semalam.
“Pada pukul 11.38 malam Khamis lalu, pembantu penguatkuasa MBAS yang sedang bertugas membuat operasi sitaan peniaga di kawasan dataran berkenaan telah dihalang oleh dua individu terbabit.
“Mereka dipercayai telah mencetuskan kekecohan dan turut berlaku pergelutan sebelum dapat dileraikan,” katanya di sini, hari ini.
Ahmad Shukri berkata, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.
Terdahulu, tular di media sosial berhubung satu klip video berdurasi dua minit 23 saat yang memaparkan beberapa individu sedang bergaduh dan membuat provokasi terhadap beberapa anggota penguatkuasa MBAS di Dataran Medan Bandar, Alor Setar.
Sementara itu, MBAS memaklumkan, ketika kejadian pihaknya sedang mengambil tindakan terhadap beberapa peniaga yang menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.
“Kawasan Dataran Medan Bandar Alor Setar memang dilarang untuk sebarang perniagaan dan telah ada papan tanda yang memaklumkan mengenai perkara itu tetapi ada pihak yang masih berdegil. Laporan polis telah dibuat dan kes sedang dalam siasatan,” katanya.
Menurut MBAS, notis larangan berniaga berkenaan dikeluarkan pada Julai 2022 yang melarang aktiviti perniagaan seperti penjualan makanan dan minuman, alat permainan, kenderaan mikromobiliti dan ‘car boot sale’.
Notis sama turut menyebut bahawa MBAS akan mengambil tindakan kepada peniaga yang tidak mematuhi arahan. -UTUSAN










