DSP disyaki minta wang secara tunai daripada sindiket judi, maksiat

DSP disyaki minta wang secara tunai daripada sindiket judi, maksiat

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden Polis (DSP) yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam disyaki menerima wang suapan dalam bentuk tunai daripada sindiket perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme di sekitar Kuala Lumpur.

Satu sumber mendedahkan, suapan itu diperoleh suspek yang berusia 40-an antara tahun 2021 hingga awal tahun ini.

“Hasil penahanan ke atas suspek, SPRM turut menemukan sejumlah wang bernilai lebih RM1.2 juta hasil serbuan di beberapa premis milik suspek.

“Suspek utama telah ditahan di Putrajaya kelmarin, manakala suspek kedua yang merupakan anggota bawahannya ditahan pada hari yang sama di sekitar Kuala Lumpur,” katanya di sini. 

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. 

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. 

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti dalang lain yang terlibat,” jelasnya.

Utusan Malaysia melaporkan, tindakan seorang pegawai kanan polis disyaki melindungi aktiviti haram di sekitar ibu negara terbongkar selepas dia ditahan SPRM.

Penahanan suspek yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu turut menemukan wang tunai lebih RM1 juta dipercayai hasil bayaran daripada sindiket tertentu.

Turut ditahan iaitu seorang anggota polis pangkat rendah yang dipercayai berperanan sebagai orang kanan kepada DSP terbabit.

Wang berjumlah lebih RM1 juta itu ditemukan di dua apartment yang dimilikinya di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Siasatan SPRM mendapati pegawai kanan terbabit dipercayai menerima bayaran secara bulanan daripada sindiket tertentu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN