KANGAR: Selepas 13 tahun, mampukah Perlis United FC (PUFC) kembali beraksi dalam Liga Super bagi musim 2024/2025 sekali gus menamatkan penantian sekian lama rakyat negeri ini untuk melihat pasukan bola sepak kesayangan mereka itu kembali mewarnai kancah utama liga bola sepak negara.
Persoalan tersebut bakal terjawab sama ada Perlis United akan berjaya atau sebaliknya mendapat Lesen Kebangsaan untuk beraksi di Liga Super bagi musim 2024/2025 apabila bakal melalui proses temuduga yang berlangsung hari ini bagi menentukan pasukan mana yang layak ke liga berkenaan.
Selain Perlis United, tiga lagi pasukan yang telah menghantar permohonan tersebut ialah Imigresen FC (IFC), Harini FT dan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers).
Dalam masa sama, Perlis United juga memberi jaminan sama sekali tidak akan menjual lesen yang diberikan kepada pihak lain jika berjaya terpilih beraksi dalam Liga Super.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Zamri Ibrahim berkata, pihaknya menaruh harapan yang tinggi untuk layak ke Liga Super selepas sekian lama, Perlis tidak beraksi di pentas utama liga bola sepak negara.
Katanya, ia turut menjadi harapan seluruh rakyat Perlis untuk melihat pasukan bola sepak dari negeri ini beraksi dalam liga berprestij itu.
“Ia bukan sekadar harapan, kita juga yakin memandangkan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Hari ini akan jadi penentu selepas sekian lama Perlis tidak beraksi dalam Liga Super.
“Kita juga sudah bersedia sekiranya berjaya layak ke Liga Super daripada segi kewangan, perancangan bukan untuk satu musim tapi musim-musim akan datang.
“Proses temuduga tersebut untuk mengetahui perancangan dan kewangan atau tajaan-tajaan. Kita sudah membuat persiapan rapi dan berharap dapat layak ke Liga Super,” katanya.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, pasukan Liga M3 yang berjaya mendapat Lesen Kebangsaan untuk beraksi di Liga Super bagi musim 2024/2025 tidak boleh mengaut keuntungan mudah dengan menjual lesen yang diberikan kepada pihak lain.
Ini kerana Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhak menarik balik Lesen Kebangsaan yang diberikan kerana lesen itu diberikan berdasarkan penilaian pasukan sedia ada dan bukannya pasukan baharu.
Tambah Zamri, Perlis United sama sekali tidak akan menjual lesen beraksi dalam Liga Super sekiranya dipilih selain pasukan berkenaan juga sudah bersedia beraksi di liga berkenaan.
Sebagai rekod, lewat 1990-an sehingga 2010, Perlis bukanlah nama asing dalam arena bola sepak negara dengan Singa Utara ketika itu cukup digeruni dan disegani pasukan lawan selain pernah dianggap giant killer yang memusnahkan pasukan-pasukan besar di Malaysia.
Dalam era kegemilangan tersebut, Perlis juga merasai nikmat menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 serta Liga Super 2005 selain menjadi pencabar utama kepada pasukan-pasukan hebat lain di negara ini.
Malah, dari 2004 hingga 2008 khususnya, Perlis sering kali berada di pentas akhir saingan dengan antaranya merangkul kejuaraan dua kali Piala Malaysia selain membawa pulang Piala Sumbangsih yang juga dimenangi sebanyak dua kali.
Namun, selepas lebih sedekad, nama Perlis terus menyepi dan seolah-olah hilang dalam peta bola sepak negara dengan rakyat Perlis ketika ini hanya menaruh harapan kepada PUFC yang membawa imej negeri ini beraksi dalam saingan Liga M3.-UTUSAN










