PETALING JAYA: Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) menyeru semua pihak mematuhi segera Resolusi 2728 oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata di Gaza dalam bulan Ramadan.
Selain itu, Centhra turut menentang sekeras-kerasnya double standard untuk mengekalkan konflik ini kerana tentera Israel sehingga kini tetap meneruskan kempen pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin dengan menyasarkan wanita dan kanak-kanak selain membiarkan mereka kebuluran.
Pengerusi Centhra, Azril Mohd. Amin berkata, walaupun majoriti mengakui penerimaan pakai resolusi tersebut, pihaknya tetap ragu tentang komitmen dunia untuk melaksanakan gencatan senjata dan memastikan perlindungan nyawa rakyat Palestin keseluruhannya.
“Majlis Keselamatan PBB mengambil masa lebih enam bulan untuk membuat resolusi ini. Kelewatan ini amat membimbangkan dalam menangani krisis kemanusiaan yang mendesak.
“Walaupun resolusi tersebut menuntut gencatan senjata dan pembebasan segera tebusan, Centhra ingin menekankan pentingnya keperluan untuk mengambil tindakan cepat dan menegakkan akauntabiliti, terutamanya dalam memastikan Israel bertanggungjawab atas segala tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Malaysia mengalu-alukan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2728 mengenai Gaza yang menuntut gencatan senjata serta-merta, pembebasan tebusan tanpa syarat dan penghantaran segera bantuan kemanusiaan tanpa halangan.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata, Malaysia juga menyeru agar Majlis Keselamatan PBB memastikan Israel memenuhi tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa dan menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Tambah Azril, pertubuhan-pertubuhan utama dunia dan masyarakat antarabangsa mesti memberi persetujuan segera agar sekatan ketat dapat dilakukan terhadap penduduk Israel yang berterusan menyemarakkan keganasan terhadap rakyat Palestin, khususnya di Baitulmaqdis.
“Kami bersama-sama dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dalam menekankan betapa pentingnya untuk melaksanakan Resolusi 2728.
“Kegagalan melaksanakan genjatan senjata di Palestin tidak boleh dimaafkan kerana ianya hanya akan memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang semakin teruk di Gaza,” katanya.
Beliau pada masa menuntut Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mempercepat siasatannya dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang di Palestin.
“Malangnya, sehingga hari ini tindakan yang diambil terhadap Israel terlalu perlahan. Jelas, ICC kurang berminat dalam mempertahankan hak-hak asasi dan nasib rakyat Palestin,” ujarnya. –UTUSAN