PUTRAJAYA: Seorang lelaki Kemboja terlepas hukuman mati selepas Mahkaman Rayuan hari ini menggantikannya dengan penjara 60 tahun kerana menyebabkan kematian dua kanak-kanak lelaki dan dua wanita senegara di sebuah ladang kelapa sawit di Selangor, lapan tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail terhadap bekas penjual air, Usuf Matli, 39.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin menggantikan sabitan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh kepada Seksyen 304 (a) kanun sama iaitu menyebabkan kematian.
“Sabitan dan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Tinggi (Shah Alam) diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan.
“Oleh itu, perayu menjalani hukuman penjara selama 60 tahun kerana hukuman itu berkuatkuasa berasingan dari tarikh tangkap pada 7 September 2015,” kata Hakim Hadhariah.
PENGAKUAN
Semasa prosiding, selepas pertuduhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu dibacakan, perayu mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mengikut keempat-empat pertuduhan, Usuf didakwa menyebabkan kematian Rahimi Yusof dan Asnawi Ahmad serta Fatimas Aly dan Salamah Yusof di kebun kelapa sawit di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang Kuala Langat, Selangor antara pukul 1 pagi dan 7.25 malam, 6 September 2015.
Pada 8 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Usuf selepas didapati bersalah kerana membunuh mangsa-mangsa yang juga warga Kemboja.
Terdahulu, peguam Salim Bashir yang mewakili Usuf memberitahu mahkamah, pihaknya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggantikan hukuman mati kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fairuz Johari mengesahkan AGC telah menerima representasi tersebut yang dihantar pada 26 Januari lalu.
Semasa rayuan terhadap hukuman, peguam itu memohon supaya perayu dikenakan hukuman penjara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 7 September 2015.
Sementara itu, pendakwaan memohon agar perayu dikenakan hukuman penjara 18 tahun bagi setiap pertuduhan kerana dalam kejadian itu empat nyawa terkorban dan mangsa dibunuh dengan kejam. – UTUSAN










