PETALING JAYA: Penyakit strok yang dialami tidak menghalang penyanyi, Afad Raihan untuk terus memartabatkan industri nasyid tempatan dan mencari rezeki dalam penganjuran majlis dan acara.
Kata Afad atau nama sebenarnya Zulfadli Mustaza, meskipun sukar, dia tetap bersemangat dan tidak mengalah untuk meneruskan perjuangan sebagai penyanyi nasyid.
“Pembabitan saya dalam bidang ini bukan kerana wang dan kekayaan, sebaliknya kerana tanggungjawab untuk menyampaikan kebaikan menerusi lagu-lagi nasyid.
“Mungkin saya tak akan buat kalau saya letak duit sebagai pendorong.
Bidang ini pada saya bukan tempat cari duit, saya akan kecewa kalau jadikan itu sebagai matlamat utama.
“Apa pun saya berbalik kepada Allah. Tuhan uji saya dengan penyakit strok untuk didik dan fahamkan saya bahawa kekayaan tak bernilai kalau kita sakit. Jadi saya bersyukur dengan peluang yang saya dapat sekarang,” katanya.
Afad berkata demikian sewaktu majlis Preview Bazar Madani dan Bufet Ramadan anjuran Mercure Living Putrajaya.
Afad sepanjang Ramadan akan membuat persembahan sempena buka puasa di hotel berkenaan bersama barisan selebriti terkenal antaranya Azzam Sham dan Hijjaz.
Dalam pada itu Afad meluahkan rasa syukur kerana kehadirannya dalam industri seni dan nasyid khususnya masih diterima peminat meskipun sudah meninggalkan Raihan lebih 10 tahun lalu.
“Lepas keluar Raihan, saya teruskan dengan bergerak solo dan anjurkan projek tertentu termasuk hasilkan single dan sebagainya. Semua ini saya lakukan untuk meletakkan diri dalam dunia seni tempatan.
“Malah atas permintaan label, tahun lepas saya berkolaborasi dengan bekas vokalis Raihan, Nazrey Johani, merakam semula 10 buah lagu kumpulan itu.
“Saya tak sangka masih diterima walaupun ramai yang masih keliru adakah saya masih bersama Raihan disebabkan nama yang saya bawa sebagai Afad Raihan. Sejarah tak boleh diubah. Saya dan Nazrey tetap bekas vokalis Raihan cuma sekarang kami bergerak solo,” ujarnya.










