PETALING JAYA: Bakal memasuki bulan Ramadan beberapa hari lagi, pelakon, Fadhli Masoot, teruja bakal menjalani ibadah puasa pertama kali bersama isteri.
Mengakui bukan seorang lelaki yang cerewet, Fadhli bahagia sekiranya isteri, Suraya hanya memasakkan juadah telur kicap sebagai menu sahur.
“Isteri ada tanya, bulan puasa nanti mahu masakkan apa? Kalau sahur, telur masak kicap pun saya sudah bahagia. Sejak kecil pun itulah menu yang emak saya masak.
“Menu mudah, ringkas, senang dan paling penting, kenyang. Tak sangka isteri pun makan benda sama kalau dia bersahur,” katanya.
Fadhli ditemui Utusan Malaysia di pengumuman drama TV3 sempena Ramadan Raya di Glamhall Damansara, semalam.
Mengakui jadualnya padat sepanjang Ramadan, pelakon Projek High Council itu bersyukur kerana isteri sangat memahami dan menyokong penuh kerjayanya.
“Memang tiada istilah perlahankan kerjaya selepas kahwin. Alhamdulillah isteri seorang yang sangat supportive.
“Kalau ‘call time’ saya pukul lapan di Perak. Pukul lima pagi isteri saya sudah bungkuskan barang dan letak dalam kereta.
“Dia tak pernah letakkan syarat berlakon dengan pelakon wanita atau cemburu. Tapi saya kongsi setiap aktiviti di set kepadanya,” tambahnya.
Sebelum ini, Fadhli membuat kejutan apabila memuuat naik gambar sudah melangsungkan perkahwinan dengan isteri, Suraya pada 2 Mac lalu.
Dengan sekali lafaz, Fadhli sah menjadi suami kepada Suraya yang dikenalinya sejak dua tahun lalu.
Fadhli turut memperkenalkan isteri kepada peminat terdekat selepas majlis perkahwinan berlangsung.










