PETALING JAYA: Usahawan sensasi, Liana Rosli atau Kak KM tidak teragak-agak menegur mana-mana individu, termasuk keluarga sendiri sekiranya tindakan individu terbabit mendatangkan masalah dan melampaui batas.
Katanya, dia lebih memilih untuk menegur secara terbuka berbanding menyembunyikan kemarahan untuk menjaga perasaan orang lain.
“Saya seorang yang telus. Kalau marah, saya luahkan. Saya tak sembunyikan perasaan itu. Walaupun anak dan suami sendiri sekali pun, kalau saya marah, saya ‘bagi’.
“Contoh, yang saya marahkan di media sosial sebelum ini, ditujukan bukan sahaja untuk suami, malah kepada anak, kakitangan dan mereka yang mendatangkan masalah kepada saya.
“Dah masalah yang datang pula bertimpa-timpa. Ditambah lagi dengan (masalah) yang datang dari orang lain, memang mendapatlah mereka. Saya tak peduli, siapa sahaja yang bagi tekanan kepada saya, memang akan ‘kena’,” luahnya semasa majlis buka puasa bersama artis Starvendor, baru-baru ini.
Liana sebelum ini mencuri perhatian netizen apabila meluahkan kemarahannya di media sosial termasuk berhubung tindakan seorang individu yang didakwa melakukan penipuan dengan memindahkan wang milik usahawan itu yang berjumlah RM35,000 ke akaun peribadinya.
Perkongsian itu menimbulkan teka teki dalam kalangan netizen sehingga ada yang membuat andaian dengan mengaitkan individu yang dimaksudkan adalah suami Liana sendiri.
Anak kepada pelakon veteran Normah Damanhuri itu bagaimanapun sehingga ke hari ini tidak mendedahkan secara terperinci berkenaan hal tersebut.
Dalam perkembangan lain, Liana mengakui insiden rompakan yang menimpa keluarganya sehingga mengakibatkan kerugian mencecah RM3.5 juta baru-baru ini meninggalkan trauma kepadanya sekeluarga.
Katanya, selain trauma, dia juga mula berasa rimas apabila terlalu kerap diajukan pertanyaan tentang tragedi hitam tersebut.
“Selepas berdepan musibah itu, saya menjadi malas keluar rumah. Terlalu ramai orang nak berjumpa dan menelefon untuk bertanyakan tentang perkara tersebut.
“Kalau berdepan masalah seperti ini, saya lebih selesa untuk tidak berjumpa terlalu ramai orang.
“Apa pun, Alhamdulillah. Dalam diuji dengan musibah dan bala, saya diberi kekuatan. Saya tak akan terlalu bersedih. Sedikit-sedikit mungkin sebab saya manusia biasa.
“Allah sudah janji, akan bagi yang lebih baik. Jadi nak sedih apa lagi?” Kongsinya.










