Berisiko melarikan diri, isteri Daim gagal dapat pasport kekal

Berisiko melarikan diri, isteri Daim gagal dapat pasport kekal

NA'IMAH Abdul Khalid hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan permohonan untuk mendapatkan pasportnya secara kekal. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk mendapatkan pasportnya secara kekal.

Pasport isteri Tun Daim Zainuddin itu ditahan oleh Mahkamah Sesyen sebagai syarat jaminan ekoran pendakwaan terhadapnya kerana gagal mengisytiharkan harta.

Hakim Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Na’imah untuk menyemak perintah Mahkamah Sesyen yang menahan pasportnya selepas berpuas hati wujud kemungkinan beliau melarikan diri (flight risk).

“Beliau berisiko melarikan diri, kemungkinan itu boleh berlaku kerana Tun Daim sedang sakit dan mungkin perlukan perubatan di luar negara dan pasportnya (Daim) pula tidak ditahan di mahkamah.

“Jika pasport pemohon (Na’imah) dipulangkan secara kekal, kemungkinan risiko ‘fligh risk’ lebih tinggi yang mana pemohon akan ke luar negara dan tidak kembali,” ujar beliau ketika bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin sebelum itu berhujah, tiada jaminan isteri bekas Menteri Kewangan itu tidak akan melarikan diri ke luar negara jika pasportnya dikembalikan secara kekal.

Sehubungan itu, Hakim Ahmad berpuas hati, tindakan hakim Mahkamah Sesyen menahan pasportnya adalah sah, wajar dan tidak berlaku ketidakadilan terhadapnya. Ketika membacakan keputusannya, Hakim Ahmad juga berkata, jika Na’imah berhasrat ke luar negara untuk membawa suami (Daim) bagi tujuan perubatan, beliau boleh membuat permohonan dan ia akan diuruskan dengan segara.

Pihak pendakwaan sebelum ini memberi jaminan, beliau boleh mengemukakan permohonan pada bila-bila masa agar pasportnya dikembalikan secara sementara dan ia boleh diperoleh pada hari yang sama permohonan dikemukakan.

Hakim Ahmad selanjutnya berkata, beberapa personaliti antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang pernah didakwa di mahkamah turut dikenakan syarat tambahan iaitu pasport di serahkan kepada mahkamah.

“Penahanan pasport di mahkamah untuk beberapa kes sebagai satu bentuk keselamatan,” katanya. Na’imah diwakili peguam M. Puravalen.

Mengenai sama ada keputusan Mahkamah Sesyen telah melanggar hak Na’imah di bawah Perlembangaan Persekutuan, Hakim Ahmad berkata hak Na’imah sebagai warganegara berubah selepas beliau didakwa di mahkamah.

“Keadaan berubah daripada rakyat biasa kepada tertuduh. Hak mutlak pemohon terhadap pasportnya juga berubah,” katanya.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Hakim Azura Alwi membenarkan Na’imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan beliau untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Pada 29 Januai lalu, suami beliau yang berusia 85 tahun pula didakwa atas pertuduhan sama melibatkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN