Bergelumang di jalan gelap

Bergelumang di jalan gelap

DESAKAN hidup menyebabkan Kamariah bergelumang dengan dunia pelacuran sejak lebih 20  tahun lalu. - MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebaik sahaja ditanya tentang keluarga dan anak-anak, berjurai air mata­nya sekali gus menggambarkan betapa perit penderitaan ditempuh untuk bangkit dan membesarkan enam anaknya.

Terlalu banyak pengalaman pahit dilalui wanita dikenali sebagai Kamariah (bukan nama sebenar), 57, ini sehingga kemun­caknya terpaksa bergelar pelacur.

Walaupun hidup sebagai manusia kerdil dengan kerjaya tidak bermoral, bagi Kamariah, pelacur juga mempunyai pe­rasaan dan naluri seperti insan biasa lain, cuma takdir dirinya `buruk’ berbanding orang lain.

Apatah lagi bergelar ibu tunggal kepada enam anak yang kini berusia antara 14 tahun hingga 28 tahun, sudah semestinya bukan satu tugas yang mudah lebih-lebih lagi mengharungi kehidupan di ibu kota yang rata-rata tiada siapa peduli de­ngan masalah orang lain.

KAMARIAH menggangap takdirnya `buruk’ berbanding orang lain sehingga terpaksa bergelumang dengan dunia pelacuran demi membesarkan enam anaknya. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO

Bergelumang dengan aktivi­ti tidak bermoral di ibu kota, Kamariah tidak peduli panda­ngan orang lain kerana yang penting anak-anaknya perlu diisi perut mereka dan dapat mengikuti pembelajaran di sekolah.

Walaupun lima anaknya sekadar melengkapkan pengajian menengah, wanita tersebut tetap bersyukur kerana salah seorang daripada mereka kini mengikuti pengajian di sebuah pusat tahfiz di selatan tanah air.

Yang menggembirakan, anaknya itu juga sudah berjaya menghafaz tujuh juzuk al-Quran.

Mengimbau kisah silamnya, Kamariah berkata, keputusan bergelar pelacur berlaku selepas perkahwinan kali kedua turut hancur dengan bilangan zuriat bertambah daripada dua kepada enam orang.

“Suami pertama bercerai selepas saya dapat tahu dia berkahwin sekali lagi secara senyap-senyap di Thailand. Masa itu saya sudah ada dua anak.

“Awak cuba bayangkan bagaimana perasaan apabila ditipu hidup-hidup dengan suami. Mula-mula dia beritahu mahu bercuti tiga hari sahaja. Selepas itu saya pelik sebab dia tidak balik seminggu. Apabila pergi ke hotel tempat dia bekerja, barulah semuanya terbongkar,” ceritanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Selepas bercerai dengan suami pertama, kehidupannya terkontang-kanting sehingga pernah dihalau daripada rumah sewa pada waktu senja. Ba­yangkan bagaimana dia terpaksa mengheret anak-anaknya meninggalkan rumah di ibu kota ketika malam.

“Saya kemudian menum­pang di rumah sepupu sebelum mendapat kerja di sebuah kilang di Seremban, Negeri Sembilan,” katanya.

Kamariah kemudian ber­kenalan dengan suami kedua ketika bekerja di kilang tersebut. Namun, dia yang mengharapkan kebahagiaan menerusi perkahwinan kedua itu sekali lagi kecundang.

“Sebelum bercerai, suami kedua ajak berpindah ke Kuala Lumpur semula. Pada satu hari, dia bawa saya ke kawasan sekitar Puduraya dan jumpa dengan seorang lelaki.

“Saya terpinga-pinga kerana tidak tahu apa tujuannya. Rupa-rupanya lelaki tersebut adalah ‘bapa ayam’. Mujur lelaki itu ‘ada otak’ apabila tahu saya isteri orang, dia terus memaki-hamun suami saya dan menghalau kami,” katanya.

Beberapa bulan kemudian suaminya dipenjara kerana terlibat dengan kesalahan jenayah dan dari situ kehidupan Kamariah berubah.

Dia terpaksa mencari rezeki sendiri dan melakukan pelbagai kerja demi menampung kehidupan bersama anak-anaknya.

“Saya pernah berniaga burger di kawasan Chow Kit selama 10 tahun tapi tidak mampu bertahan sebab ada yang dengki. Selepas itu saya bekerja di pusat karaoke. Daripada situ saya belajar minum arak. Boleh dikatakan setiap hari mabuk apabila pulang.

“Dalam masa yang sama, saya melacur untuk membesarkan anak-anak,” katanya ketika mengimbau detik hitam dalam hidupnya.

WARGA asing adalah golongan majoriti yang menjadi pelanggan Kamariah.

Menurut Kamariah, dalam sehari dia melayan antara tiga ke empat orang pelanggan yang majoritinya rakyat negara asing.

“Dulu pelanggan agak ramai dan setiap sorang dikenakan RM30 ke RM50 seorang. Keba­nyakan mereka ialah lelaki Indonesia dan Bangladesh,” katanya.

Kini selepas lebih 20 tahun, Kamariah masih ‘bekerja’ untuk meneruskan kehidupannya walaupun tidak seaktif dulu.

Ditanya tentang cemuhan dan kecaman yang diterima, Kamariah berkata, dia tidak peduli tentang pandangan negatif masyarakat terhadap dirinya. Bagi wanita ini, siapa mereka untuk menilainya.

“Apa orang cakap, saya pe­kakkan telinga. Saya cakap de­ngan anak-anak, Mama boleh sekolahkan dan beri pelajaran seadainya mahu belajar lagi,” jelasnya yang memasang azam untuk berubah ke arah kebaikan satu masa nanti.

CUKUPLAH SAMPAI DI SINI – PEKERJA SEKS LELAKI

Bagi Kamal, 45, yang juga pekerja seks, dia terjebak dalam kegiatan tersebut sejak 2015 selepas tidak mendapat kerja.

“Sebelum itu saya bekerja sebagai penjawat awam tetapi berhenti disebabkan beberapa masalah. Saya ada mencari pekerjaan lain namun gagal.

“Selepas itu saya daftarkan diri dalam sebuah laman web sebagai peneman wanita yang sunyi dan bernaung menerusi satu agensi. Dari situ, saya juga mula dapat tempahan daripada golongan gay,” katanya.

KAMAL mengakui terjebak dengan dadah selepas menjadi pekerja seks dan kini disahkan menghidap HIV.

Jelas Kamal, pelanggan wa­nita hanya menjadikan dia sebagai peneman untuk makan atau membeli-belah dan tidak berakhir di ranjang berban­ding pelanggan lelaki yang rakus serta melanggar batas norma manusia.

Justeru katanya, bagi menghilangkan rasa tidak selesa, gugup dan melupakan aksi bersama pelanggan lelaki, Kamal mengambil dadah yang ada sebahagiannya disediakan pelanggannya sendiri.

“Macam-macam situasi apabila bersama pelanggan lelaki yang tidak sanggup saya ceritakan. Jadi saya hisap dadah untuk hilangkan segala macam perasaan tersebut.

“Apabila selalu berkongsi jarum, saya akhirnya dijangkiti HIV dan hepatitis B,” katanya yang kini menjadi sukarelawan di salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selepas terjebak dalam lembah hina lebih setahun, Kamal berubah dan tidak mahu ada yang mengambil jalan singkat dengan melakukan perbuatan terkutuk seperti dirinya. Dia mahu kisahnya dijadikan tau­ladan terutama kepada generasi muda.

“Banyak lagi yang perkara best yang boleh dibuat di luar sana. Jangan habiskan masa dan sisa hidup dengan benda bodoh terutama untuk orang muda,” katanya.

PERLU PANDAI TACKLE

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ar Riqab, Nor Akmar Ali, 52 berkata, dia tidak pernah berdepan dengan pengalaman pahit sepanjang mengurus insan seperti Kamal dan Kamariah.

NOR AKMAR ALI

Malah katanya, layanan dan kerjasama insan daripada mereka yang berada dalam golongan tersebut lebih baik berbanding segelintir masyarakat.

“Alhamdulilah saya tidak pernah berdepan pengalaman pahit. Sebenarnya kalau kita pandai melayan dan tackle, mereka akan balas dengan cara yang baik.

“Sebab apa? Sebab layanan baik dan mesra itu yang mereka tidak dapat. Awak bayangkan ada yang sudah 11 kali dipenjara pun. Mereka tidak takut pun nak masuk penjara atau pusat pemulihan. Bagi mereka perkara yang menyeksakan ialah sewaktu detoks daripada dadah,” jelasnya yang kini sudah mempunyai lebih 500 klien.

Dalam pada itu, Nor Akmar berkata, pihaknya mempunyai klien yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kisah silam.

“Ada warga emas, penagih dadah, wanita, penjenayah, pelacur dan sebagainya. Paling muda yang datang ke sini dalam umur lingkungan 30-an,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN