KUALA LUMPUR: Bekas menteri Kabinet antara 47 saksi yang akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.
Selain itu, beberapa bekas ahli pengurusan tertinggi di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan (MOF) turut akan menjadi saksi dalam perbicaraan yang akan bermula Mei ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh memaklumkan perkara itu ketika ditemui media selepas sebutan kes tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihak pendakwaan hanya akan mendedahkan senarai lengkap nama-nama saksi pada perbicaraan kes itu nanti.
Terdahulu, Farah Yasmin memaklumkan hanya kenyataan saksi yang belum diserahkan kepada pembelaan dan dokumen tersebut akan diberikan dalam tempoh 14 hari sebelum prosiding mengikut peruntukan undang-undang.
“Maka, kami akan serahkan pernyataan saksi pertama, 14 hari sebelum tarikh bicara yang ditetapkan sebelum 27 Mei ini,” katanya.
Sementara itu, peguam bela, Alaistair Brandah Norman yang mewakili Adam Radlan memohon supaya pihak pendakwaan menyerahkan dokumen tersebut lebih awal iaitu sebulan sebelum perbicaraan.
“Setelah mendapat arahan daripada anak guam, kami mohon pernyataan ini diserahkan lebih awal kerana kami perlu meneliti dokumen berkenaan sebelum prosiding dijalankan.
“Lebih-lebih lagi ia melibatkan seramai 47 saksi, maka, kami berharap diberi masa sebulan sebelum tarikh saksi dipanggil,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Suzana mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan pernyataan saksi kepada pembelaan 14 hari sebelum setiap saksi hadir memberi keterangan.
Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes Adam Radlan, 43, selama 15 hari bermula 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos.
Pada 9 November lalu, Adam Radlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas enam tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.6 juta.
Adam Radlan sebagai Pengarah Bumiraya Sdn. Bhd. didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM3.675 juta dari akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu, ke akaun bank sama milik tertuduh serta tiga individu lain termasuk Nabilah Mahiaddin antara 1 Disember hingga 27 Disember 2022.
Pada 22 Februari lalu, Di Mahkamah Shah Alam, Adam Radlan didakwa atas dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd. mendapatkan dua projek.
Ahli perniagaan itu juga pernah dihadapkan sebanyak tiga kali di Mahkamah Sesyen di sini.
Pada 28 Februari 2023, dia didakwa secara rasuah meminta wang berjumlah RM2 juta daripada Lian Tian Chuan sebagai upah kepadanya kerana membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek berkaitan Jana Wibawa.
Pada 21 Februari tahun sama, Adam Radlan didakwa meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd., Mat Jusoh Mamat iaitu suapan bernilai RM500,000 daripada individu sama berhubung projek Jana Wibawa.
Pada 25 Oktober 2023, Adam Radlan didakwa menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000 dari akaun CIMB Bank Berhad miliknya di CIMB Berhad, Cawangan Bukit Tunku di sini antara 2 Disember 2021 hingga 22 Februari 2022.– UTUSAN










